SUKAN

MSO Kids’ Warrior Silat Fest 2025 lahirkan generasi pendekar muda

NILAI – Kejohanan MSO Kids’ Warrior Silat Fest 2025 yang berlangsung selama tiga hari di N9 Arena di sini menutup tirainya dengan penuh warna-warni selepas berjaya menghimpunkan lebih 1,500 pesilat muda dari seluruh negara.

Bertemakan “Di Sini Lahirnya Pendekar & Srikandi”, kejohanan yang dianjurkan oleh MSO Group Asia bersama Kelab Kebudayaan dan Pelancongan Malaysia dengan sokongan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) itu dilihat sebagai platform penting dalam mencungkil bakat baharu dalam arena silat tanah air.

Menurut penganjur, kejohanan yang disertai peserta berusia antara enam hingga 16 tahun itu bukan sekadar medan persaingan, malah menjadi landasan membentuk semangat juang dan jati diri generasi muda.

“Melalui kejohanan ini, kita ingin membina karakter pendekar sejati dalam diri anak-anak muda, agar mereka bukan sahaja mahir bersilat tetapi juga berdisiplin dan berjiwa bangsa,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sepanjang tiga hari penganjuran, lebih 10,000 pengunjung hadir bagi menyaksikan aksi pesilat muda berentap dalam pelbagai kategori, termasuk peringkat sekolah rendah, menengah serta pertubuhan silat tempatan.

Para pemenang menerima pingat emas, perak dan gangsa, manakala semua peserta membawa pulang sijil penyertaan rasmi MSO Kids’ Warrior Silat Fest 2025 sebagai tanda penghargaan.

Majlis perasmian kejohanan disempurnakan oleh Pengerusi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Mohd Al-Hafizi Abu Bakar, yang menyifatkan penganjuran itu sebagai bukti komitmen pihak penganjur memartabatkan warisan silat sebagai simbol kekuatan dan perpaduan bangsa.

“Program seperti ini bukan sahaja melahirkan juara di gelanggang, tetapi juga mengukuhkan akar budaya yang menjadi identiti rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Kejohanan itu turut mencatat kejayaan penganjuran besar dengan sokongan pelbagai pihak dan bakal diteruskan pada edisi akan datang sebagai usaha berterusan melahirkan lebih ramai pendekar dan srikandi muda negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button