NADI jadi pemangkin transformasi digital rakyat, beri manfaat kepada 1.9 juta ahli – Fahmi
PERMATANG PAUH – Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) terus memainkan peranan penting sebagai pemangkin transformasi digital rakyat apabila kini mempunyai lebih 1.9 juta ahli di seluruh negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sehingga kini sebanyak 1,099 pusat NADI telah beroperasi, sekali gus membuktikan penerimaan tinggi masyarakat terhadap inisiatif berkenaan.
Menurutnya, NADI bukan sekadar menyediakan kemudahan digital, malah menjadi platform utama membantu komuniti menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi dan teknologi semasa.
“Pengiktirafan NADI sebagai Pusat Transformasi Digital di bawah Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa mencerminkan komitmen bersama untuk memastikan peluang digital dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat.
“Kita mahu teknologi dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat, bukan sekadar sebagai kemudahan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan NADI di Kubang Semang, di sini hari ini.
Beliau berkata, impak NADI dapat dilihat menerusi pelaksanaan Perkhidmatan Pintar yang memberi fokus kepada lima teras utama iaitu keusahawanan, pembelajaran sepanjang hayat, kesejahteraan kendiri, kesedaran dan inisiatif kerajaan.
Katanya, melalui pendekatan itu, rakyat berpeluang memperoleh kemahiran baharu, meningkatkan pengetahuan serta membuka peluang ekonomi khususnya kepada usahawan kecil dan belia.
“Usahawan boleh memanfaatkan platform digital untuk memasarkan produk, manakala komuniti setempat pula dapat meningkatkan kemahiran yang memberi nilai tambah kepada kehidupan mereka,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan Pulau Pinang mempunyai 42 pusat NADI yang aktif memperkasa komuniti setempat melalui pelbagai program pembangunan kemahiran dan keusahawanan.
Beliau turut berkongsi kisah kejayaan peserta seperti pengusaha Sweet Sujee Empire dari Tasek Gelugor yang berjaya mengembangkan perniagaan sehingga membuka kiosk di Bukit Mertajam hasil bimbingan NADI.
Selain itu, seorang peserta program Mahir Masak dari Butterworth turut berjaya menjadikan kemahiran memasak sebagai sumber pendapatan melalui platform dalam talian, manakala seorang pelajar dari Johor mencatat keputusan cemerlang 9A dalam SPM 2025 melalui program tuisyen NADI.
“Ini adalah bukti bahawa transformasi digital bukan sekadar konsep, tetapi mampu mengubah kehidupan rakyat secara nyata,” katanya lagi.
Tambah beliau, kejayaan NADI sebelum ini turut diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila menerima anugerah World Summit on the Information Society Prizes dalam kategori Capacity Building.
Sehubungan itu, katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan terus memperkukuh peranan NADI sebagai hab komuniti digital melalui peluasan program literasi digital, pembangunan kemahiran serta akses kepada peluang ekonomi baharu.
“Fokus kerajaan jelas iaitu memastikan rakyat bukan sahaja mempunyai akses kepada teknologi, tetapi mampu memanfaatkannya untuk membina kehidupan yang lebih baik,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












