Naim Moktar luah kesyukuran dipilih sebagai calon PRK Kinabatangan
KINABATANGAN – Naim Moktar, anak kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin hari ini meluahkan rasa syukur dan tekad untuk memikul amanah besar selepas diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan.
Dalam kenyataan sulungnya selepas pengumuman itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi atas kepercayaan dan mandat yang diberikan, sambil menegaskan pencalonan tersebut bukan sekadar soal parti, sebaliknya membawa tuntutan dan harapan seluruh rakyat di Kinabatangan.
Menurutnya, amanah itu hadir bersama tanggungjawab yang besar untuk meneruskan legasi perjuangan dan khidmat bakti yang telah lama terpahat di Parlimen berkenaan.
“Ini bukan hanya sekadar mandat parti, tetapi sekaligus membawa tuntutan pembelaan daripada seluruh rakyat di Kinabatangan.
“Alangkah sempurnanya jika ‘moment’ ini dapat disaksikan oleh bapa saya. Namun Allah lebih mengetahui apa yang terbaik,” katanya.
Beliau berkata, rasa takziah atas pemergian bapanya dan ucapan tahniah atas pencalonan itu akan dipikul serentak sebagai satu amanah yang akan diperjuangkan dengan sepenuh jiwa, kudrat dan keikhlasan.
Parlimen Kinabatangan sebelum ini sinonim dengan nama Datuk Seri Bung Moktar Radin yang merupakan tokoh politik berpengaruh di Sabah.
Allahyarham meninggal dunia pada 5 Disember lalu akibat jangkitan paru-paru yang serius dan komplikasi penyakit buah pinggang.
Bung Moktar pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen kawasan itu selama beberapa penggal serta dikenali lantang memperjuangkan isu rakyat luar bandar, khususnya di Pantai Timur Sabah.
PRK Kinabatangan diadakan susulan kekosongan kerusi Parlimen berkenaan, sekali gus membuka lembaran baharu apabila BN mempertaruhkan calon daripada generasi penerus bagi meneruskan kesinambungan perjuangan di kawasan itu.
BN dijangka berdepan saingan sengit dalam PRK berkenaan, namun kepimpinan parti optimis faktor legasi, penerimaan akar umbi serta fokus kepada pembangunan dan kebajikan rakyat akan menjadi sandaran utama dalam usaha mengekalkan kerusi Parlimen Kinabatangan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












