BERITA SEMASAPOLITIK

Nasib PAS, BERSATU dalam PN ditentukan secara majoriti – Abdul Hadi

MARANG – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan sebarang keputusan mengenai kedudukan PAS atau BERSATU dalam Perikatan Nasional (PN) perlu ditentukan melalui persetujuan majoriti parti-parti komponen gabungan itu.

Menurut beliau, keputusan sama ada PAS atau BERSATU perlu diketepikan daripada PN bukan terletak pada satu pihak sahaja, sebaliknya bergantung kepada pendirian parti-parti anggota lain termasuk GERAKAN dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

“Terpulang kepada parti-parti rakan lain. Mengikut perlembagaan PN, keputusan mesti dibuat oleh majoriti parti anggota,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mengulas situasi PAS dan BERSATU yang masih berada dalam PN walaupun hubungan politik antara kedua-duanya dilaporkan berakhir, Abdul Hadi berkata, PAS masih memegang jawatan pengerusi gabungan tersebut manakala parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu kekal sebagai anggota komponen.

Katanya, GERAKAN dan MIPP mempunyai kebebasan untuk menentukan sokongan sama ada kepada PAS atau BERSATU dalam sebarang keputusan berkaitan masa depan gabungan itu.

“Terpulang kepada kedua-dua parti ini sama ada mahu menyokong PAS atau BERSATU .

“Pengerusi mempunyai kuasa yang diperuntukkan dalam perlembagaan termasuk berkaitan penggunaan simbol pilihan raya dan perkara-perkara lain. Sebab itu kita mahu melepaskan diri daripada ikatan tersebut dan terpaksa mengambil langkah yang dibuat sekarang,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Terdahulu, Hadi dijadual merasmikan Konvensyen Reset di Tanah Merah, Kelantan esok.

Konvensyen itu dijangka menjadi pentas kepada bekas Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan penyokongnya untuk mengumumkan hala tuju politik baharu gerakan berkenaan.

Hamzah sebelum ini melancarkan gerakan Reset pada 14 Februari lalu, sehari selepas beliau dipecat daripada BERSATU susulan pertikaian kepimpinan dengan Muhyiddin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button