LUAR NEGARA

Netanyahu mahu normalisasi hubungan dengan Arab Saudi, Indonesia

Langkah untuk kukuhkan kedudukan politik sebelum rakyat Israel kembali ke peti undi

TEL AVIV – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mahu menormalisasi hubungan diplomatik dengan Arab Saudi dan Indonesia sebagai strategi politik menjelang pilihan raya awal yang dijangka berlangsung pada Jun 2026.

Laporan penyiar awam Israel, KAN, baru-baru ini menyebut Netanyahu mahu memuktamadkan sekurang-kurangnya satu perjanjian dengan dua negara utama dunia Islam itu bagi mengukuhkan kedudukannya sebelum rakyat Israel kembali ke peti undi.

Menurut sumber diplomatik yang dipetik oleh i24 News, Netanyahu menilai peluang untuk mencapai persetujuan dengan Riyadh sebagai ‘munasabah’, manakala kemungkinan untuk berjaya dengan Jakarta dianggap ‘rendah’.

Namun, beliau dikatakan akan berpuas hati sekiranya dapat memeterai perjanjian dengan hanya salah satu daripada kedua-duanya.

Langkah Netanyahu itu bukan sahaja bertujuan memperbaiki imejnya di peringkat antarabangsa, tetapi juga untuk mempamerkan kejayaan dasar luar Israel menjelang pilihan raya, kata penganalisis.

Arab Saudi mempunyai pengaruh besar dalam dunia Islam sebagai penjaga dua kota suci Makkah dan Madinah, selain kekuatan ekonominya yang luas. Sementara itu, Indonesia negara dengan populasi Muslim terbesar di dunia dilihat sebagai kuasa ekonomi baharu yang strategik untuk Israel.

Bagaimanapun, Kementerian Luar Arab Saudi sebelum ini menegaskan bahawa sebarang bentuk normalisasi dengan Israel hanya boleh berlaku selepas penubuhan negara Palestin yang merdeka.

“Kerajaan Arab Saudi menegaskan pendirian ini tidak boleh dirunding dan tidak tertakluk kepada sebarang kompromi,” menurut kenyataan rasmi kementerian itu pada Februari lalu.

Sementara itu, Indonesia turut mengekalkan pendirian bahawa hubungan diplomatik dengan Israel hanya akan dipertimbangkan sekiranya hak dan kedaulatan rakyat Palestin diiktiraf sepenuhnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button