146,167 aduan dikendalikan, NSRC selamatkan RM34 juta sepanjang 2025
CYBERJAYA – Komitmen Kerajaan dalam memerangi jenayah siber diperkukuh apabila Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) kini beroperasi sepenuhnya 24 jam sehari, tujuh hari seminggu sebagai pusat respons kebangsaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sepanjang tahun 2025, NSRC merekodkan pencapaian signifikan dalam usaha melindungi kepentingan mangsa penipuan kewangan dalam talian.
Beliau berkata, NSRC telah mengendalikan sebanyak 146,167 panggilan aduan serta melaksanakan tindakan pembekuan terhadap 138,915 akaun yang terlibat.
“Hasil tindakan pantas pusat itu, sejumlah RM34,051,357.68 berjaya diselamatkan daripada jatuh ke tangan sindiket,” katanya dalam sidang media pada perasmian NSRC di bangunan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di sini, hari ini.
Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sambil disaksikan Saifuddin dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Selain itu, NSRC turut mencatat lonjakan ketara dalam aspek pemulangan dana kepada mangsa melalui proses earmarking, iaitu daripada RM508,479.39 pada tahun 2024 kepada RM6,649,171.03 pada tahun 2025.
Sebagai rekod, NSRC di Cyberjaya telah memulakan operasi pada 7 Oktober 2022 dan diterajui oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama anggota kerja operasi yang merangkumi Bank Negara Malaysia (BNM), MCMC serta Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, sehingga Januari tahun ini, momentum prestasi tersebut terus dikekalkan apabila sebanyak RM1,443,533.40 lagi berjaya disita melalui tindakan pembekuan awal.
“Kerajaan MADANI kekal komited melalui pendekatan whole-of-government bagi memastikan keselamatan kewangan rakyat sentiasa terpelihara serta menjamin ekosistem digital negara terus berdaya tahan daripada ancaman jenayah siber,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












