BERITA SEMASA

LPS lancar inisiatif mesra orang pekak promosi pelancongan Sabah

KOTA KINABALU – Lembaga Pelancongan Sabah (LPS) mengorak langkah ke arah pelancongan inklusif dengan melancarkan inisiatif mesra orang pekak sempena sambutan Hari Pekak Sedunia, dalam usaha memastikan sektor pelancongan di negeri ini lebih terbuka dan mesra kepada semua golongan.

Dalam satu kenyataan, LPS memaklumkan,
langkah proaktif itu dilihat sejajar dengan aspirasi global untuk menjadikan pengalaman pelancongan bukan sekadar perjalanan, tetapi peluang untuk mencipta kenangan yang lebih bermakna bagi komuniti kurang upaya pendengaran.

Awal tahun ini, LPS bekerjasama dengan Persatuan Orang Pekak Sabah (SSD) dan Politeknik Kota Kinabalu menganjurkan acara Lampoopalooza, iaitu festival tahunan muzik, cahaya dan seni yang mengetengahkan elemen keterangkuman.

“Acara berkenaan bukan sahaja memupuk kesedaran terhadap komuniti kurang upaya pendengaran, malah memberi ruang kepada mereka untuk berkarya serta berinteraksi secara langsung dengan masyarakat.

Pekak
Kafe Pop-Up Coffea oleh Pelajar Pekak Politeknik Kota Kinabalu.

“Pelajar daripada program Sijil Khas Operasi Katering di Sekolah Pelancongan dan Hospitaliti Politeknik Kota Kinabalu juga diberi peluang menyertai acara itu bagi meningkatkan keyakinan mereka untuk terlibat aktif dalam industri pelancongan tempatan,” katanya.

Selain penganjuran acara, LPS turut melaksanakan usaha dalaman dengan menganjurkan dua siri kursus asas Bahasa Isyarat Malaysia untuk kakitangannya, dikendalikan oleh jurulatih daripada SSD.

Setakat ini, seramai 37 kakitangan LPS telah dilatih berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat, selaras dengan keperluan sektor pelancongan yang lebih mesra dan inklusif.

Pekak
Kakitangan STB bersama Encik Choong (seorang individu pekak) di Matta Fair Johor Bahru baru-baru ini.

Kemahiran tersebut mula dimanfaatkan apabila wakil LPS menerima kehadiran pelawat pekak semasa pameran pelancongan seperti Matta Fair Kuala Lumpur dan Johor Bahru, yang menunjukkan minat mendalam terhadap destinasi Sabah.

Dalam pada itu, LPS turut bekerjasama dengan Persatuan Pemandu Pelancong Sabah (STGA) bagi menganjurkan lawatan khas untuk komuniti pekak.

“Seramai 30 ahli SSD menyertai lawatan bandar separuh hari termasuk ke Tapak Ramsar Tanah Bencah Kota Kinabalu, bagi memberi pendedahan kepada pelancongan mesra keperluan khas,” katanya.

LPS berkata, usaha berterusan ini membuktikan komitmen LPS untuk menjadikan Sabah sebagai destinasi pelancongan inklusif yang boleh diakses oleh semua, seiring visi ASEAN 2025 ke arah komuniti berorientasikan rakyat.

“Dengan pendekatan bersepadu merangkumi latihan, perancangan acara dan kerjasama komuniti, Sabah kini bukan sahaja dikenali sebagai destinasi pelancongan utama, malah turut muncul sebagai model pelancongan inklusif di rantau ini,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button