PAS persoal dakwaan RTM rehatkan Azlan Johar selepas sertai parti
KUALA LUMPUR – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mempersoalkan tindakan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang didakwa merehatkan bekas pemain bola sepak kebangsaan, Azlan Johar daripada tugas sebagai pengulas siaran Piala Dunia 2026 yang sedang berlangsung.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tindakan tersebut menimbulkan persoalan sama ada ia mempunyai kaitan dengan keputusan Azlan menyertai parti itu baru-baru ini.
Menurut beliau, sekiranya dakwaan berkenaan benar, ia bukan sahaja menjejaskan hak individu terbabit malah merugikan negara dan peminat sukan tanah air.
“PAS berharap semua pihak berkaitan termasuk Kerajaan Malaysia dan agensi di bawahnya menghormati serta tidak merampas hak asasi warganegara, termasuk hak berpersatuan dan berpolitik seperti yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
“Sekiranya penafian hak sebagai pengulas itu benar-benar berlaku, ia amat merugikan negara dan mengecewakan rakyat, khususnya peminat sukan tanah air,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Takiyuddin berkata, Azlan merupakan figura sukan yang mempunyai pengalaman luas dalam arena bola sepak serta pernah berkhidmat sebagai pengulas dan penganalisis bagi lebih 10 edisi perlawanan Piala Dunia sepanjang kerjayanya dalam bidang penyiaran.
“Bekas penyerang kebangsaan itu juga memiliki lesen kejurulatihan bola sepak tahap tinggi dan kini menyandang jawatan Pengerusi Yayasan Lagenda,” katanya lagi.
Beliau turut menggesa kerajaan memastikan tiada sebarang bentuk diskriminasi berlaku terhadap mana-mana individu berdasarkan pegangan politik mereka.
“Kerajaan dituntut menyelaraskan tindakan mereka dengan slogan reformasi hak asasi rakyat dan institusi yang sering dilaungkan sebelum ini,” katanya lagi.
Terdahulu, Azlan diumumkan menyertai PAS secara rasmi oleh Takiyuddin pada Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Seremban pada malam 13 Jun lalu.
Selain Azlan, seramai 13 lagi tokoh termasuk bekas menteri dan bekas Exco kerajaan negeri turut diumumkan menyertai parti berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












