BERITA SEMASASUKAN

Pasukan Sepaktakraw Remaja Putrajaya sasar suku akhir dalam penampilan sulung

PUTRAJAYA – Pasukan Sepaktakraw Remaja Putrajaya optimis mampu melangkah ke peringkat suku akhir dalam penampilan sulung mereka di Kejohanan Sepaktakraw Remaja Kebangsaan 2025 yang akan berlangsung dari 7 hingga 9 Februari di Center Court Complex Seremban, Negeri Sembilan.

Pengurus Pasukan, Shahzan Ismail berkata, keyakinan tersebut hadir berkat persiapan rapi selama tiga bulan yang merangkumi pelbagai sesi latihan intensif dan pendedahan teknikal daripada jurulatih berpengalaman dari Thailand.

“Walaupun ini kali pertama pasukan Putrajaya menyertai kejohanan itu kami yakin mampu bersaing dengan pasukan berpengalaman.

 

“Persiapan rapi serta komitmen tinggi pemain menjadi kunci kekuatan kami,” katanya ketika dihubungi Malaysia Tribune hari ini.

Putrajaya diundi dalam Kumpulan B bersama pasukan Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Cabaran getir menanti, namun Shahzan percaya barisan pemain muda berusia bawah 20 tahun itu mampu mencipta kejutan.

Antara pemain yang bakal menggalas cabaran ialah Ahmad Firdaus Ahmad Nizam, Muhammad Zafran Al-Amien Mohd Fakhrudin, Muhammad Shammir Aqiel Shahzan, Muhammad Faris Fezairy NorFaizal, Muhammad Rahmatturahim Mohamad dan Muhammad Farzuan Idrus.

Jurulatih pasukan, Masnawi Misran turut berkata, fokus utama adalah memastikan ketahanan mental dan fizikal pemain berada di tahap terbaik.

“Kami bukan sahaja menekankan aspek kemahiran teknikal, tetapi juga strategi permainan yang berkesan untuk berdepan lawan yang lebih berpengalaman,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Shahzan menyeru seluruh warga Putrajaya untuk memberikan sokongan padu kepada pasukan remaja tersebut.

“Sokongan moral daripada warga Putrajaya amat penting untuk menaikkan semangat juang pemain di gelanggang,” katanya lagi.

Kejohanan anjuran Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) itu menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM15,000, menjanjikan persaingan sengit dalam kalangan pasukan yang bertanding.

“Kami membawa semangat Putrajaya. Harap sokongan warga Putrajaya menjadi pembakar semangat untuk kami melakar sejarah,” kata Shahzan penuh yakin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button