PDRM mohon bantuan Interpol jejak menantu Muhyiddin
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengemukakan permohonan kepada Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mengesan lokasi ahli perniagaan dalam buruan, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, yang dipercayai berada di luar negara.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, SPRM ketika ini sedang melaksanakan beberapa tindakan susulan bagi membantu siasatan, termasuk menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa antarabangsa.
“Semua sedia maklum bahawa beliau (Adlan) berada di luar negara. SPRM telah mengambil langkah-langkah tertentu yang sebelum ini mungkin tidak diketahui umum.
“Tindakan tersebut memerlukan kerjasama daripada negara berkaitan dan insya-Allah, kita akan cuba sedaya upaya untuk menyelesaikan perkara ini,” katanya memetik laporan Malaysia Gazette hari ini.
Adlan, yang juga menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dikehendaki SPRM bagi membantu siasatan kes pecah amanah.
Sebelum ini, SPRM memaklumkan bahawa Adlan dipercayai menetap di sebuah negara yang tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Malaysia.
Menurut Mohd Khalid, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang maklum balas rasmi daripada Interpol berhubung permohonan tersebut.
“Mungkin SPRM boleh memberikan penjelasan lanjut mengenai perkembangan terkini berhubung perkara itu,” katanya.
Terdahulu, laporan media tempatan mendakwa Adlan, yang dipercayai melarikan diri ke luar negara lebih dua tahun lalu, kini menjalani kehidupan mewah di sebuah negara di Asia Barat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












