BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Peguam ditahan disyaki bersubahat seludup dadah ke penjara

KUALA TERENGGANU – Seorang peguam ditahan bagi membantu siasatan berhubung ‘penyeludupan’ dadah ke dalam penjara oleh seorang banduan seperti disahkan oleh Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin.

Katanya, peguam berusia 32 tahun itu disyaki bersubahat bersama seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun, iaitu banduan di Penjara Marang yang ditangkap kerana membawa masuk dadah ke penjara, lapor Buletin TV3.

Menurut beliau, pada 23 Disember lalu kira-kira jam 5 petang, pegawai kanan Penjara Marang menjalankan pemeriksaan penerimaan terhadap seorang banduan lelaki yang baharu selesai menjalani perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.

Katanya, pemeriksaan awal menggunakan mesin pengimbas mendapati terdapat objek asing di dalam badan banduan terbabit.

“Susulan itu, banduan berkenaan diasingkan dan diletakkan di bawah pemantauan rapi klinik penjara. Pada keesokan harinya, iaitu 24 Disember, banduan itu dibawa ke Klinik Kesihatan Merchang bagi menjalani pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa objek asing yang mencurigakan di dalam badan banduan tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, di sini, hari ini.

Banduan terbabit kemudian dibawa semula ke penjara dan terus diasingkan. Pada hari yang sama, banduan itu membuang air besar dan mengeluarkan 12 ketulan disyaki mengandungi dadah jenis pil kuda dan ganja.

Katanya, pada 25 Disember lalu di lokasi sama, banduan terbabit sekali lagi membuang air besar dan mengeluarkan 14 ketulan yang disyaki mengandungi dadah jenis pil kuda dan Erimin 5.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, pihak penjara membuat laporan polis di Balai Polis Marang dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Tambah Mohd Khairi, dadah yang dirampas iaitu pil yaba (123 gram), ganja (21 gram), Erimin 5 (13 gram) dianggarkan boleh digunakan oleh kira-kira 800 penagih dengan nilai rampasan berjumlah RM16,000.

Berikutan rampasan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Terengganu menjalankan siasatan lanjut dan berjaya menahan seorang peguam bagi membantu siasatan.

Ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati beliau negatif dadah. Suspek direman enam hari bermula 30 Disember lalu hingga 4 Januari depan.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 107(C) Kanun Keseksaan kerana bersubahat; jika sabit kesalahan, suspek boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali.

Justeru, katanya, dengan tertangkapnya kedua-dua suspek, JSJN Terengganu meminta kerjasama orang ramai, khususnya penama Nurul Norasikin Aladin, 30, yang beralamat di Kampung Batin, Seberang Takir, di sini, tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, Nurul Norasikin atau lebih dikenali sebagai ‘Ikin’ juga boleh menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Mohammad Azmi Awang Lah, di talian 010-9213516.

Untuk rekod, pada tahun 2024 terdapat empat kes rampasan dadah di lokap, manakala tahun lalu satu kes, menjadikan keseluruhan lima kes rampasan.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button