Pelajar PhD rugi hampir RM850,000 diperdaya sindiket ‘phone scam’
GEORGETOWN – Seorang pelajar ijazah doktor falsafah (PhD) sebuah universiti kerugian hampir RM850,000 selepas diperdaya sindiket ‘phone scam’ yang menyamar sebagai pihak berkuasa dari China.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, laporan diterima pihaknya daripada lelaki warganegara China berusia 29 tahun itu yang mendakwa diperdaya sindiket berkenaan.
Berdasarkan laporan polis, Azizee berkata, mangsa mendakwa menerima panggilan telefon daripada lelaki warganegara China dengan memperkenalkan diri sebagai pegawai Biro Keselamatan Awam Shanghai pada 4 Ogos lalu.
Suspek mengatakan terdapat bungkusan mengandungi kad pengenalan, kad kredit serta buku cek menggunakan nama mangsa yang dihantar dari Malaysia ke China dan dokumen itu ditahan oleh pihak Polis Shanghai.
“Panggilan telefon mangsa seterusnya disambung kepada seorang lagi individu yang menyamar sebagai pegawai Biro Keselamatan Awam Hong An, negara berkenaan.
“Suspek memaklumkan bahawa akaun bank mangsa turut disyaki terbabit dengan aktiviti penipuan dalam talian di China,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut, Azizee berkata, suspek kemudian mengarahkan mangsa membuat pemindahan wang ke beberapa akaun bank dan e-wallet yang diberi kononnya bagi tujuan siasatan.
Katanya, sepanjang tempoh 6 hingga 26 Ogos lalu, mangsa sudah membuat sebanyak 30 transaksi pindahan wang berjumlah RM847,843.62 ke 11 akaun bank tempatan serta tiga akaun mata wang kripto (USDT) yang berlainan.
“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas memaklumkan perkara itu kepada rakan sekelas.
“Lelaki itu kemudian tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini, kelmarin (28 Ogos) bagi membolehkan siasatan dijalankan,” katanya lagi.
Menurut Azizee, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi kesalahan menipu.
Katanya, masyarakat dinasihati supaya berhati-hati dengan panggilan telefon yang mencurigakan, terutama jika meminta maklumat peribadi atau butiran perbankan.
“Jangan mudah terpedaya dengan panggilan yang menyamar sebagai pihak berkuasa atau institusi kewangan.
“Berdasarkan kes ini, adalah mustahak supaya informasi pencegahan jenayah komersil khususnya penipuan dalam talian disampaikan kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |










