BERITA SEMASASUKAN

Pelantikan Lee Chong Wei ke BAM detik bersejarah – Hannah

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyifatkan pelantikan legenda badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei sebagai ahli majlis Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebagai detik bersejarah yang amat dinantikan sejak beliau menerajui kementerian itu pada 2022.

Menurut Hannah, kehadiran bekas pemain nombor satu dunia itu diyakini bukan sahaja memberi suntikan moral, malah mampu menjadi pemangkin utama kepada pembangunan dan pembaharuan badminton negara.

“Tahniah Datuk Seri Lee Chong Wei, inilah momen yang saya nantikan sejak dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan.

“Saya percaya beliau mempunyai begitu banyak yang boleh disumbangkan kepada pembangunan badminton di Malaysia. Beliau tidak seharusnya sekadar berada di pinggiran BAM,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Pelantikan Chong Wei diumumkan secara rasmi oleh Presiden BAM, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai sebahagian daripada pelan strategik Tangkis 2030.

Hannah berkata, meskipun Chong Wei sebelum ini banyak menyumbang melalui Majlis Sukan Negara (MSN) dan Program Road to Gold (RTG), penglibatan secara langsung beliau bersama BAM akan membawa satu dimensi baharu.

“Kehadiran beliau membantu kita di MSN dan RTG amat saya hargai tetapi saya optimis apabila bekas atlet memimpin dalam persatuan sukan kebangsaan, ia pasti menyuntik semangat keterujaan, keyakinan dan ketepatan dalam keputusan serta dasar persatuan.

“Terima kasih banyak Lee Chong Wei kerana akhirnya bersetuju! Sekaranglah masanya untuk beliau kembali kepada badminton Malaysia. Kam sia lu!” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button