Pemain warisan rakyat Malaysia yang sah, kesilapan berlaku selepas kakitangannya muat naik dokumen dari ejen bukan JPN – FAM
KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menafikan dakwaan dalam laporan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang mengaitkan pemain negara dengan penggunaan dokumen palsu dan menegaskan gambaran yang diberikan adalah tidak tepat.
FAM berkata, tuduhan bahawa pemain memperoleh atau mengetahui tentang dokumen palsu adalah tidak berasas kerana tiada bukti kukuh dikemukakan oleh FIFA setakat ini.
“FAM ingin menegaskan bahawa para pemain warisan yang terlibat adalah rakyat Malaysia yang sah.
“Kesilapan yang berlaku berpunca daripada wrong submission atau ralat pentadbiran apabila seorang kakitangan tersilap memuat naik dokumen daripada ejen dan bukannya dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas FAM, pihaknya kini sedang menyediakan rayuan rasmi menggunakan dokumen asal yang sah serta disahkan oleh kerajaan Malaysia bagi memperbetulkan laporan tersebut.
“FAM akan mengemukakan rayuan rasmi berhubung kesimpulan ini dan kekal komited mempertahankan integriti bola sepak negara berdasarkan fakta serta dokumen sahih,” katanya lagi.
FAM turut memberi jaminan bahawa pihaknya akan terus menjaga nama baik bola sepak Malaysia dan memastikan setiap tindakan serta urusan dijalankan secara telus dan profesional.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












