Pemandu lori brek ‘tak makan’ maut selepas rempuh bangunan kedai di Jerantut
JERANTUT – Pemandu lori yang merempuh bangunan kedai di pekan lama di sini semalam disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.
Dalam kejadian yang tular di media sosial itu, lori yang dipandu mangsa turut merempuh sebuah van dan kereta yang diletakkan di kaki lima jalan.
Ketua Polis Jerantut, Superintendan Zukri Muhammad berkata, pemandu lori yang membawa muatan tar itu disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan manakala pemandu van mengalami kecederaan ringan.
“Semasa kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mangsa dari arah persimpangan lampu isyarat Dato Bahaman menuju ke Jalan Bandar Lama.
“Apabila sampai di tempat kejadian mangsa telah gagal mengawal kenderaan dan melanggar sebuah van yang sedang bergerak dipandu seorang lelaki dan sebuah kereta yang sedang parkir sebelum merempuh sebuah lot kedai kosong di bangunan itu,” katanya dalam kenyataan.
Zukri berkata, mayat mangsa dihantar ke hospital bagi proses bedah siasat dan pemandu van pula menerima rawatan lanjut di Hospital Jerantut.
Kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Pahang memaklumkan dalam insiden itu, pemandu lori tersepit akibat melanggar kedai manakala mangsa di dalam van cedera di bahagian kaki dan telah dikeluarkan dari hospital.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












