Ahli Parlimen termasuk pembangkang beri isyarat mahu PM terus berkhidmat lebih 10 tahun – Fahmi
CYBERJAYA – Tindakan 44 Ahli Parlimen pembangkang yang hadir namun tidak mengundi Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun disifatkan sebagai petanda mereka tidak berhasrat mengenakan sebarang sekatan terhadap tempoh perkhidmatan jawatan itu.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keadaan itu secara tidak langsung memberi isyarat bahawa terdapat Ahli Parlimen termasuk dalam kalangan pembangkang yang mahu Perdana Menteri terus berkhidmat melangkaui tempoh dicadangkan.
“Mereka akan teruskan untuk berkhidmat. Ini bukan apa yang Perdana Menteri mahu, tetapi ini adalah signal yang Ahli Parlimen berikan, terutamanya pembangkang.
“Maksudnya pembangkang mahu Perdana Menteri terus berkhidmat, jadi kita ucapkan terima kasih kepada pembangkang,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.
Semalam Dewan Rakyat tidak meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri.
Ia selepas RUU itu gagal memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Parlimen, apabila hanya 146 Ahli Parlimen menyokong, sementara 32 Ahli Parlimen tidak hadir dan 44 Ahli Parlimen berkecuali.
Keputusan undi belah bahagian itu diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, selepas ia dibahaskan oleh seramai 41 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Mengulas lanjut Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, RUU itu boleh dibawa semula pada sidang Parlimen akan datang, dijangka sekitar Jun dan Oktober ini.
“Saya percaya sekiranya mereka benar-benar memahami, mungkin ini memberi kita sedikit peluang untuk teruskan sesi libat urus.
“Saya harap ini bukan isu kepartian. Ini adalah isu tata kelola yang baik, meletakkan had kepada tempoh perkhidmatan Perdana Menteri dan memastikan prinsip akauntabiliti.
“Takkan prinsip akauntabiliti ini tidak penting kepada semua Ahli Parlimen? Saya percaya sepatutnya semua Ahli Parlimen menyokong,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












