BERITA SEMASA

Pemerintahan Siber dan Elektronik Pertahanan ATM akan mantapkan pertahanan negara – Adly

KUALA LUMPUR – Pertahanan negara akan dimantapkan lagi apabila Pemerintahan Siber dan Elektronik Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijangka dilancarkan secara rasmi, Disember ini.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata, pelan peralihan pertahanan negara ke arah ketenteraan pintar sedang digerakkan melalui transformasi yang memberi penekanan kepada teknologi kecerdasan buatan (AI), automasi sistem senjata dan pembangunan keupayaan peperangan siber.

“Pemerintahan siber berperanan sebagai pusat graviti dalam operasi siber dan elektromagnetik manakala konsep Angkatan Masa Hadapan (pula) membentuk doktrin, struktur serta aset berteknologi tinggi yang mampu beroperasi dalam persekitaran peperangan digital,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Adly berkata demikian bagi mennjawab soalan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) mengenai pelan peralihan teknologi pertahanan Malaysia ke arah ketenteraan pintar termasuk penggunaan AI, sistem automasi senjata dan peperangan siber.

Beliau kemudiannya menambah, pengisian keupayaan Pemerintahan Siber dan Elektronik Pertahanan itu akan dilaksana secara berfasa melalui Rancangan Malaysia Ke-13.

Ketika menjawab soalan tambahan Muhammad Ismi mengenai pelan latihan semula terhadap anggota ATM supaya mereka berupaya mengendali sistem automasi dan AI yang semakin kompleks, Adly berkata, kementerian memberi penekanan kepada lapan aspek berkaitan perkara itu.

Jelasnya, ia membabitkan langkah memanfaatkan AI dalam pengawasan di darat, air dan udara, kepakaran penggunaan dron ketenteraan, pertahanan siber, sistem senjata pintar serta penggunaan kenderaan tanpa pemandu.

Selain itu, Adly berkata ia melibatkan langkah memanfaat penggunaan AI dalam sistem komunikasi dan perisikan, simulator latihan serta keperluan logistik.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button