
Pemilik akaun FB ‘Adeline Cheng’ disiasat muat naik hantaran jelik terhadap kanak-kanak
CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai merakam percakapan seorang pengguna media sosial susulan hantaran berkenaan gambar seorang kanak-kanak yang disertakan kapsyen bersifat jelik.
Menurut MCMC dalam satu kenyataan sebentar tadi, pemilik akaun Facebook ‘Adeline Chang’ tersebut diberi Notis Kehadiran mengikut prosedur ditetapkan, dan rakaman percakapan itu dilaksanakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, kelmarin.
Kata MCMC lagi, pihaknya turut menyita satu unit telefon bimbit serta kad sim yang digunakan untuk memuat naik kandungan tersebut bagi membantu siasatan.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali dan denda lanjutan RM1000 setiap hari kesalahan diteruskan, jika sabit kesalahan.
“Seksyen tersebut melarang penghantaran komunikasi melalui kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi, yang antara lain bersifat jelik, lucah atau sumbang, dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu orang lain,’ kata MCMC dalam kenyataan tersebut.
Sehubungan itu, MCMC turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada sebelum memuat naik atau berkongsi sebarang kandungan terutamanya kandungan yang melibatkan kanak-kanak.
“MCMC turut komited untuk meningkatkan kesedaran bagi melindungi keselamatan kanak-kanak melalui kerjasama dengan pelbagai pihak selain memastikan tindakan tegas diambil ke atas mereka yang terlibat dengan salah laku terhadap kanak-kanak,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












