BERITA SEMASA

[VIDEO] Pemindahan ladang babi ke Bukit Tagar akan dipercepatkan

SHAH ALAM – Kerajaan negeri Selangor akan mempercepatkan pemindahan semua ladang babi dari Kuala Langat dan Sepang ke Bukit Tagar.

Exco Pertanian Negeri Selangor, Datuk Ir Izham Hashim berkata, langkah itu selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, di samping bagi menangani isu pencemaran serta penularan wabak demam babi Afrika (ASF).

@malaysiatribune

Ladang ternakan babi di Kuala Langat, Sepang akan segera dipindahkan ke Bukit Tagar tahun ini juga #malaysiatribune #beritasemasa #pertanian

♬ original sound – malaysia tribune – malaysia tribune

Beliau memberitahu, pada masa yang sama, kerajaan negeri akan menghentikan pembaharuan lesen di dua kawasan terbabit.

“Tuanku tidak berkenan supaya kita sambung lagi walaupun sementara di Kuala Langat, ini bermakna kita kena percepatkanlah proses di Bukit Tagar itu.

“Tetapi syarat (di Bukit Tagar) memang ketat, syarat itu ia mestilah ada penampannya, kita akan sediakan penampan kemudian mesti tertutup, mesti tidak ada kumbahan yang akan mengalir keluar.

“Ini antara syarat-syarat yang kita telah letak, ada 11 syarat-syarat itu yang nanti akan kita perincikan kemudian,” katanya dalam satu sidang media, di sini hari ini.

Jelas beliau, Bukit Tagar dikenal pasti sebagai satu-satunya lokasi baharu bagi penternakan babi di Selangor, tertakluk kepada syarat ketat termasuk pewujudan zon penampan yang luas, sistem penternakan tertutup serta kaedah ‘zero discharge’ bagi mengelakkan pencemaran bau dan sumber air.

Mengulas dakwaan sesetengah pihak bahawa babi yang diternak adalah bagi tujuan eksport, Izham menegaskan Selangor tidak pernah menjadi pengeksport babi dan pengeluaran sedia ada hanyalah bagi memenuhi keperluan masyarakat bukan Islam di negeri itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan meneliti semula angka populasi maksimum ternakan (SPP) bagi memastikan jumlah ternakan tidak melebihi keperluan negeri serta tidak membawa kepada aktiviti eksport.

Izham turut menegaskan bahawa semua projek pemindahan dan pembangunan ladang babi baharu dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta tanpa melibatkan sebarang peruntukan kerajaan negeri.

Menurutnya, keputusan lanjut termasuk penetapan garis masa pemindahan akan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Rabu ini bagi mendapatkan kelulusan muktamad.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button