
Pendidikan seharusnya ditawarkan pada kos serendah mungkin – Anwar
KUALA LUMPUR – Akses kepada pendidikan tinggi seharusnya ditawarkan pada kos serendah mungkin, khususnya kepada pelajar daripada keluarga miskin dan golongan yang memerlukan bantuan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim betkata, kedudukan kewangan negara ketika ini yang dibebani hutang mencecah puluhan bilion ringgit memerlukan kerajaan melaksanakan bantuan pendidikan secara bersasar dan berperingkat bagi memastikan keutamaan diberikan kepada golongan paling memerlukan.
“Pendidikan ini sepatutnya semurah mungkin dan kalau boleh, kemudahan diberikan kepada semua yang memerlukan.
“Namun apabila kita membentuk kerajaan, kita melihat tanggungjawab kewangan yang besar dengan hutang berjumlah puluhan bilion ringgit.
“Tahun lalu, saya memutuskan untuk menambah bilangan pelajar miskin yang menerima pendidikan percuma daripada 5,000 kepada 10,000 orang dan perkara ini telah dibincangkan bersama Kementerian Kewangan bagi mencari jalan meningkatkan lagi bantuan kepada pelajar miskin,” katanya ketika sesi soal jawab program Temu Anwar@ Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT), di sini, hari ini.
Mengulas cadangan mahasiswa berhubung penukaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada biasiswa bagi pelajar cemerlang, Anwar berkata perkara itu sememangnya wajar dipertimbangkan, namun pelaksanaannya perlu dibuat secara berperingkat mengikut kemampuan semasa kerajaan.
“Cadangan itu baik dan diberi perhatian, tetapi dalam keadaan sekarang, kita perlu menyelesaikan keutamaan secara berperingkat,” katanya lagi.
Dalam program sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pengecualian cukai selama 10 tahun akan diberikan kepada semua badan dan yayasan pendidikan yang memenuhi syarat ditetapkan Kementerian Kewangan, sebagai langkah menyokong pembangunan sektor pendidikan negara.
Beliau berkata, institusi pendidikan seperti Yayasan Tunku Abdul Rahman (TAR) turut menerima manfaat daripada inisiatif berkenaan.
“Jika tujuan sesebuah badan atau yayasan itu jelas untuk pendidikan dan mematuhi peraturan ditetapkan, seperti Yayasan TAR, kerajaan meluluskan pengecualian cukai selama 10 tahun,” katanya lagi.
Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












