Pengacara, pelawak era 80-an, Isma Aliff meninggal dunia
KUALA LUMPUR – Dunia hiburan tanah air kehilangan seorang tokoh apabila pengacara, pelakon dan pelawak popular era 1980-an, Isma Aliff dilaporkan meninggal dunia pada usia 61 tahun, pagi ini.
Allahyarham Isma atau nama sebenarnya Muhammad Latiff Ismail menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Kampung Melayu Ampang, di sini, kira-kira pukul 8.30 pagi.
Berita pemergian itu disahkan oleh adiknya, Angah yang memaklumkan bahawa arwah telah lama mengalami masalah kesihatan dan keadaannya semakin merosot sejak seminggu lalu.

“Arwah sudah lama sakit. Cuma kesihatannya merosot sejak seminggu lalu,” katanya memetik laporan Utusan Online.
Sebelum ini, Allahyarham dilaporkan pernah mengalami jangkitan pada jantung dan paru-paru selain diserang angin ahmar pada 2023.
Allahyarham Isma mencipta nama dalam industri seni menerusi filem Mawar Merah dan Marah-Marah Sayang yang ditayangkan pada 1982.
Selain itu, beliau turut dikenali melalui filem Kembar Siam, bergandingan bersama Allahyarham Mohd Yusof Abdul Hamid (Mr Os) dan pelakon terkenal Ziela Jalil.
Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada dunia seni tanah air, khususnya generasi peminat hiburan era 80-an.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












