JENAYAH & MAHKAMAH

Pengawal keselamatan sekolah cedera dilanggar kereta

JOHOR BAHRU – Seorang pengawal keselamatan sekolah cedera selepas dilanggar sebuah kereta yang dipandu seorang wanita ketika mengawal lalu lintas di hadapan sebuah sekolah di Bandar Seri Alam, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu selepas ia dimuat naik dalam laman Facebook ‘Community Roda Johor – CRJ’ serta laporan rasmi berhubung kemalangan tersebut.

Menurut beliau, kejadian berlaku kira-kira pukul1.40 tengah hari, melibatkan sebuah Perodua Viva yang dipandu seorang wanita berusia 40 tahun yang dalam perjalanan dari Taman Molek ke Taman Ehsan Jaya.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta telah terlanggar pengawal lalu lintas yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 69 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akibat kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan ringan di tangan dan telah menerima rawatan di sebuah hospital swasta berhampiran.

Sebelum itu, satu video berdurasi 33 saat tular di media sosial memaparkan seorang pengawal lalu lintas yang sedang membantu murid melintas jalan dilanggar sebuah kereta.

Sohaimi berkata, siasatan kes dijalankan mengikut Rule 10 LN 166/59 dan pihaknya menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan memandu dengan berhati-hati.

“Patuhi undang-undang jalan raya dan sentiasa berhati-hati ketika memandu,” katanya lagi.

Pihak polis turut mengalu-alukan sebarang maklumat berkaitan kejadian ini yang boleh disalurkan kepada polis di talian 07-3864222 untuk membantu siasatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button