Pengguna TikTok dakwa diri pakar bedah forensik diburu
KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa sedang giat mengesan seorang pengguna TikTok yang mendakwa dirinya sebagai pakar bedah forensik dalam satu siaran langsung yang membincangkan mengenai bedah siasat Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, semakan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati individu berkenaan bukanlah pakar bedah atau pegawai forensik dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan KKM.
“(Bagaimanapun) Kenyataan palsu itu telah tersebar luas sehingga menimbulkan tanggapan seolah-olah benar.
“Perkara itu telah disahkan oleh Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan KKM selepas merujuk kepada Ketua Pasukan Patologi Forensik,” katanya, hari ini.
Fahmi berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu (IPG), Lembah Pantai, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin; Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Julina Johan; dan Pengarah IPG Kampus Bahasa Melayu Kuala Lumpur, Dr. Masitah Mohammad Yusof.
Menurut Fahmi, akaun media sosial individu itu kini berada dalam mod peribadi, namun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan identiti dan lokasi individu terbabit untuk tujuan pendakwaan.
Fahmi turut menggesa orang ramai supaya menyemak kesahihan maklumat sebelum menyebarkannya, sambil mengingatkan bahawa penyebaran berita palsu boleh dikenakan denda sehingga RM500,000.
Sementara itu, mengenai majlis hari ini, Fahmi turut menyambut ketibaan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang melibatkan penyertaan sebanyak 73 buah kenderaan.
Konvoi itu merangkumi kontinjen yang terdiri daripada pelbagai jabatan kerajaan dan agensi kerajaan, antaranya Kementerian Komunikasi, PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kelab Permotoran Suzuki V-Storm Malaysia serta gabungan Komuniti MADANI Lembah Pantai.
Fahmi kemudian turut menyampaikan Kit Jalur Gemilang kepada pengurusan tertinggi IPG dan 12 wakil Komuniti MADANI seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bersempena inisiatif ‘1 Rumah 1 Jalur Gemilang’.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












