Pengurangan defisit fiskal negara bukti kejayaan Ekonomi MADANI
DI tengah landskap ekonomi global yang masih berdepan ketidaktentuan pasca pandemik dan cabaran geopolitik serantau, Malaysia berjaya mencatatkan satu pencapaian penting apabila kerajaan MADANI mengumumkan pengurangan defisit fiskal negara di samping peningkatan hasil pendapatan secara berterusan.
Kejayaan itu bukan sahaja membuktikan ketahanan ekonomi negara malah mencerminkan keberkesanan pendekatan strategik yang dibawa melalui kerangka Ekonomi MADANI yang menekankan prinsip keseimbangan antara pembangunan ekonomi, keadilan sosial dan tadbir urus fiskal yang berhemah.

Ia juga menandakan kebangkitan semula ekonomi negara yang mula menampakkan pemulihan kukuh selepas melalui tempoh mencabar pandemik Covid-19.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee menyifatkan pencapaian itu sebagai hasil daripada pelbagai pembaharuan dan reformasi fiskal yang dilaksanakan secara konsisten dan terancang oleh kerajaan.

“Kalau ikutkan, ada banyak faktor yang menyumbang. Antaranya yang ketara ialah pemulihan ekonomi negara kita selepas pandemik atau ketika pasca pandemik yang agak memberangsangkan.
“Kita mula bangkit melalui peningkatan dalam sektor perdagangan dan pelaburan,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Menurut beliau, antara pencetus utama kepada prestasi fiskal yang memberangsangkan itu ialah keberkesanan perancangan ekonomi jangka sederhana yang digerakkan menerusi Ekonomi MADANI.
“Ia boleh kita kaitkan dengan perancangan Kerangka Ekonomi MADANI melalui reformasi yang dilakukan oleh kerajaan untuk menambah baik dalam usaha meningkatkan hasil pendapatan negara,” ujar beliau.
Tambahnya lagi, antara langkah konkrit yang menyokong peningkatan hasil negara termasuklah peluasan skop kutipan cukai yang lebih menyeluruh, penjanaan pendapatan daripada aset-aset strategik kerajaan serta peningkatan pulangan dalam bentuk dividen daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Contohnya dalam kutipan hasil cukai yang skopnya diperluas. Kemudian ada juga penjanaan yang dibuat daripada aset strategik kerajaan dan peningkatan dividen GLC,” tegasnya.
Dalam pada itu, kejayaan mengurangkan defisit fiskal juga dilihat daripada keberhasilan kerajaan dalam melaksanakan perbelanjaan secara berfokus dan terkawal, khususnya melalui penstrukturan subsidi.
“Ada berlaku penjimatan dalam perbelanjaan yang mana lebih disasarkan dan terkawal.
“Misalnya kerajaan melaksanakan penstrukturan melibatkan subsidi. Jika sebelum ini subsidi diberikan secara menyeluruh, tapi sekarang telah diubah kepada subsidi bersasar,” jelas Dr. Umi Hamidaton.

Menurut beliau lagi, langkah rasionalisasi subsidi tersebut bukan sahaja membantu menyalurkan bantuan kepada golongan yang benar-benar memerlukan, tetapi juga mampu mengurangkan ketirisan dalam perbelanjaan kerajaan sekali gus menyumbang kepada pengurangan defisit.
“Rasionalisasi subsidi bersasar ini bertujuan untuk kurangkan ketirisan dalam perbelanjaan.
“Jadi secara tak langsung ia akan menjadi faktor dalam mengurangkan defisit,” katanya.
BACA : Eksport E&E terus kukuh sumbang pertumbuhan ekonomi negara – Tengku Zafrul
Berdasarkan laporan rasmi Kementerian Kewangan, defisit fiskal negara bagi tahun 2024 dijangka mencatatkan penurunan kepada sekitar 4.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berbanding 5.6 peratus pada 2022, menunjukkan lonjakan positif hasil reformasi fiskal.
Namun begitu, Dr. Umi mengingatkan bahawa kesinambungan kejayaan itu bergantung pada keberkesanan pengurusan perbelanjaan awam dalam jangka panjang.
“Kalau kita nak tengok pencapaian ini mampan dalam jangka masa panjang, ia bergantung pada beberapa faktor terutamanya yang membawa kepada risiko tertentu.

“Contohnya dalam perbelanjaan, kerajaan kena pastikan setiap yang dibelanjakan mesti ada impak yang signifikan,” tegasnya.
Beliau turut merujuk sektor keutamaan negara seperti pendidikan dan kesihatan, yang menjadi antara penerima peruntukan terbesar dalam belanjawan tahunan, sebagai contoh perbelanjaan berimpak tinggi yang harus diteruskan.
BACA : Tarif ekonomi AS tidak gugat kestabilan ekonomi negara – Anwar
Akhir sekali, beliau menekankan bahawa kestabilan fiskal akan terus memainkan peranan penting dalam memupuk keyakinan pelabur, terutama pelaburan langsung asing (FDI) yang melihat kecekapan pengurusan fiskal sebagai indikator penting kepada kestabilan makroekonomi negara.
“Kesan langsung biasanya akan melibatkan keyakinan pelabur kerana kestabilan fiskal negara akan jadi indikator atau petanda kepada makroekonomi yang stabil. Jadi risiko terhadap pelabur akan berkurang,” tambahnya.
Kejayaan itu, menurut beliau, perlu dijadikan titik tolak untuk meneruskan agenda reformasi fiskal yang lebih menyeluruh, bukan sekadar mengejar angka, tetapi memastikan setiap sen yang dibelanjakan benar-benar menyumbang kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan mampan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












