Peniaga cendol viral kongsi pengalaman hampir ditipu scammer
KUALA LUMPUR – Seorang peniaga cendol viral, Norfathiah Hadibudin berkongsi pengalaman dimalukan dan cuba ditipu oleh seorang pelanggan yang mendakwa keluarganya mengalami cirit-birit selepas minum cendol yang dibeli daripadanya.
Kejadian itu membuka mata peniaga makanan lain tentang taktik scammer yang semakin kreatif untuk menipu orang ramai termasuk golongan peniaga.
Melalui hantaran di Facebook, Norfathiah berkata, dia menerima mesej daripada individu yang mendakwa datang dari Perak semata-mata untuk membeli cendol viralnya di Kelantan.
Pelanggan tersebut menuntut bayaran balik sebanyak RM67 bagi empat orang ahli keluarga yang didakwa mengalami cirit-birit selepas minum cendol.
“Pagi-pagi dapat notification. Cara taip mesej bukan seperti orang Kelantan.
“Katanya datang Kelantan semata-mata nak beli cendol viral dari Perak. Selepas beli balik Perak terus. Wow hebat!” tulisnya dalam hantaran tersebut.
Norfathiah menjelaskan, dia segera meminta pelanggan berkenaan menunjukkan resit sebagai bukti pembelian namun individu tersebut memberi pelbagai alasan termasuk resit basah dan tiada gambar bukti.
Setelah hampir setengah jam soal siasat dan cubaan menyelesaikan masalah melalui panggilan yang tidak diangkat, peniaga itu menyedari tingkah laku pelanggan tidak masuk akal.
“Saya ajak jumpa dia kata saya bodoh. Jauh. Saya kata tak apa akak, hantar lokasi saya pergi rumah akak kita ke klinik untuk check betul ke cirit sebab minum cendol saya.
“Dia masih berdalih. Saya pun tipu. Tak apa, akak saya dah detect location akak. Tunggu ya, kita ke balai polis. Hahaha. Dia terus delete semua chat dan block saya,” katanya.
Norfathiah turut menasihati peniaga makanan lain supaya sentiasa berwaspada dengan pelbagai taktik penipuan yang semakin licik.
Pada awalnya dia ingin memproses refund namun atas nasihat suami, dia meneliti situasi tersebut dan mendapati ramai peniaga lain telah menjadi mangsa scam serupa.
“Scammer! Macam-macam taktik manusia buat untuk tipu. Jangan mudah percaya,” ujarnya.
Setakat ini, hantaran tersebut mendapat 9000 reaksi, 338 komen dan 1,800 perkongsian semula.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












