Penyasaran subsidi diesel Sabah, Sarawak, Labuan dibuat berperingkat
KOTA KINABALU – Dakwaan Kerajaan Persekutuan tidak berlaku adil dalam pelaksanaan subsidi diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan adalah tidak tepat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kerajaan tidak pernah memutuskan untuk mengekalkan subsidi pukal secara kekal di tiga wilayah berkenaan, sebaliknya penyasaran subsidi diesel akan dilaksanakan secara berperingkat.
“Dasar kerajaan sejak awal adalah melaksanakan reformasi subsidi melalui pendekatan bersasar supaya bantuan dapat disalurkan kepada golongan dan sektor yang benar-benar layak.
“Ini merupakan pembaharuan besar yang memerlukan perancangan teliti serta pelaksanaan secara berperingkat,” katanya selepas Majlis Sambutan Aidilfitri Kerajaan Negeri Sabah 2026 di sini hari ini.
Armizan berkata, Kementerian Kewangan Malaysia sedang meneliti kerangka terbaik sebelum pelaksanaan dibuat dengan mengambil kira pandangan kerajaan negeri Sabah, Sarawak dan Labuan.
“Subsidi diesel tetap diteruskan namun menggunakan kaedah bersasar bagi mengekang ketirisan termasuk aktiviti penyelewengan dan penyeludupan,” katanya lagi.
Menurut beliau, beberapa model sedia ada seperti BUDI MADANI, BUDI95, Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) akan dijadikan rujukan dalam merangka mekanisme sesuai.
Tambahnya, pelaksanaan penyasaran di Sabah, Sarawak dan Labuan ditangguhkan ke fasa seterusnya bagi menyesuaikan dengan faktor tempatan, termasuk kebergantungan tinggi terhadap diesel serta keadaan geografi.
“Selain itu, jurang harga barangan asas yang lebih besar serta kos logistik yang tinggi turut menjadi faktor utama,” katanya lagi.
Beliau berkata, kos penghantaran barangan dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak yang tinggi menyebabkan harga barangan di wilayah berkenaan lebih mahal berbanding kawasan perdagangan utama lain di rantau ini.
“Penyasaran subsidi telah mula dilaksanakan di Semenanjung Malaysia sejak 2024 bagi diesel, diikuti petrol RON95 di seluruh negara pada 2025,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, ketika ini subsidi diesel di Semenanjung masih diteruskan melalui skim bersasar seperti SKDS dan BUDI MADANI, khususnya untuk sektor pengangkutan darat serta golongan tertentu.
“Pendekatan berperingkat itu penting bagi memastikan pelaksanaan reformasi subsidi dapat dilakukan secara berkesan tanpa menjejaskan kesejahteraan rakyat,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












