Penyelam dipenjara 6 bulan buat 11 hantaran jelik terhadap Nurul Izzah
SEPANG – Seorang penyelam dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas 11 pertuduhan memulakan hantaran jelik dan melampau terhadap anak Perdana Menteri, Nurul Izzah Anwar di laman Facebook.
Tertuduh, Ruslan Mat Ali, 48, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Menurut fakta kes, Ruslan secara sedar telah memuat naik hantaran berunsur jelik dan keterlaluan melalui akaun Facebook miliknya dengan niat untuk menyakitkan hati pihak lain.
Semua hantaran itu dilakukan antara 21 Januari hingga 25 Februari lalu dan dilihat di dua lokasi berasingan iaitu MCMC Tower 1 serta Centre of Excellence MCMC di Jalan Impact, Cyber 6, Cyberjaya.
Pertuduhan pertama menyatakan satu hantaran dilihat pada 4 Februari pada pukul 7 pagi di MCMC Tower 1, manakala 10 lagi hantaran dilihat pada 26 Februari antara pukul 1.51 tengah hari hingga 4.30 petang di Centre of Excellence MCMC.
Ruslan didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Fadhli Ab Wahab.
Tertuduh, yang merupakan bapa tunggal tidak diwakili peguam.
Namun, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan, yang diperintahkan berjalan serentak bermula 20 Jun lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












