Perkampungan Haramain Sahabat Bonda Nor 3.0: Umrah, ziarah dan eratkan ukhuwah
KUALA LUMPUR – Seramai 21 orang ahli pasukan Bonda Nor selamat berangkat ke Tanah Suci semalam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menunaikan ibadah umrah dan menziarahi Rasulullah SAW.
Perkara itu dimaklumkan penulis terkenal tanah air bagi genre buku motivasi dan dakwah santai melalui satu hantaran di Facebook.
“Assalamualaikum sahabat Bonda Nor yang dikasihi Allah. Alhamdulillah, hari ini 21 orang team Bonda Nor akan berangkat ke Haramain untuk umrah dan ziarah Rasulullah SAW sempena Perkampungan Haramain Sahabat Bonda Nor 3.0.

“Kali ini kami memilih MKM Ticketing Travel & Tours bersama-sama enam buah bas rombongan yang lain dalam satu penerbangan,” tulis Bonda Nor atau nama sebenarnya Norli Madlan.
Beliau turut mengambil kesempatan tersebut memohon maaf dan doa daripada pengikutnya di media sosial.
“Bagi pihak diri sendiri dan ahli rombongan yang lain, saya meminta maaf atas segala salah silap kami.
“Doakan moga musafir ibadah dan ukhuwah ini dalam rahmat dan jagaan Allah, dipermudahkan segala urusan, terpelihara keselamatan dan beroleh umrah maqbulah serta ibadah yang diterima.

“Kalau ada sahabat-sahabat yang nak berkirim doa, boleh tuliskan di ruang komen ya. Insya-Allah, nanti saya bacakan satu per satu semasa berada di sana. Jaga diri semua,” katanya lagi.
Untuk rekod, siri Perkampungan Haramain Sahabat Bonda Nor ini telah dimulakan pada tahun 2023.
Melalui inisiatif Bonda Nor, para penulis di bawah bimbingannya termasuk speaker dan fasilitator Kaedah Membaca Ekspres-I United serta wakil Dropshipper Bonda Nor berpeluang melaksanakan ibadah umrah melalui wang yang dikumpul sendiri.
Usaha itu termasuklah juga melalui jualan buku-buku terbitan Bonda Nor Sdn Bhd yang memberi banyak keuntungan buat mereka.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












