BERITA SEMASA

Pertunjukan bunga api 360 darjah warnai langit di Menara Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Malam Ambang Merdeka 2025 mencatat sejarah baharu apabila Menara Kuala Lumpur (Menara KL) buat julung kalinya menganjurkan pertunjukan bunga api 360 darjah sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-68 negara.

Acara gilang-gemilang itu menghimpunkan ribuan rakyat Malaysia bersama pelancong antarabangsa yang berpusu-pusu ke menara ikonik tersebut bagi menyaksikan pertunjukan bunga api dari tiga titik pelancaran yang pertama seumpamanya.

Ia sekali gus melambangkan perpaduan, kepelbagaian dan kekuatan semangat Malaysia.

Seorang kanak-kanak teruja menyaksikan pertunjukan bunga api di Menara KL.

Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn. Bhd., Khairil Faizal Othman berkata, penganjuran bunga api 360 darjah itu merupakan yang pertama dalam sejarah Menara KL dan menjadi mercu tanda kebanggaan terhadap perpaduan serta kemajuan negara.

“Setiap tahun, Menara KL menjadi lokasi rakyat bersatu dalam semangat kemerdekaan.

“Pertunjukan bersejarah tahun ini bukan sahaja mencatat rekod baharu, tetapi juga menjadi lambang Malaysia yang terus mara ke hadapan.

“Kami amat berterima kasih atas sokongan padu sepanjang Bulan Kebangsaan dan berharap dapat menganjurkan sambutan yang lebih besar bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Pertunjukan itu bukan sahaja menerangi langit ibu kota dengan cahaya warna-warni, malah mengangkat Menara KL sebagai nadi pesta rakyat sehingga lewat tengah malam.

Sambutan yang dipenuhi alunan muzik, keriangan dan semangat patriotik ini turut dimeriahkan dengan kiraan detik tepat jam 12 tengah malam, mencetuskan suasana penuh emosi dan kebanggaan.

Ruang tontonan eksklusif seperti Dek Pemerhati, Sky Terrace dan Tower Terrace dilaporkan penuh ditempah lebih awal, mencerminkan sambutan luar biasa daripada orang ramai.

Acara tersebut menutup tirai program Bulan Kebangsaan Menara KL yang berlangsung dari 1 Ogos hingga 16 September 2025.

Sepanjang tempoh itu, pelbagai program telah dianjurkan, antaranya Light Up Malaysia – Colours of Unity yang menampilkan pencahayaan menara mengikut tema negeri diiringi lagu rasmi negeri.

Selain itu, turut diadakan pertandingan lagu patriotik Menara KL Gema Merdeka 2025, Sayembara Puisi Kemerdekaan 2025 serta pertunjukan makanan warisan Padu Tarik & Tebar Canai Showdown 2025.

Kesemua inisiatif itu menegaskan peranan Menara KL sebagai lambang kebanggaan negara selain meraikan kepelbagaian budaya Malaysia dalam semangat perpaduan.

Dengan kejayaan penganjuran Ambang Merdeka 2025 ini, Menara KL menetapkan penanda aras baharu dalam penganjuran acara bertaraf dunia yang inklusif dan menarik, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan global utama menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button