Lima langkah reformasi perumahan akan diperkenal bagi hapus projek terbengkalai
KUALA LUMPUR – Usaha kerajaan untuk memastikan tiada lagi projek perumahan swasta terbengkalai menjelang 2030 bakal diperkukuh menerusi pelaksanaan lima langkah reformasi baharu industri perumahan yang akan diumumkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 20 November ini.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada pelan komprehensif kementerian bagi memperkukuh tadbir urus, pengurusan kewangan serta perlindungan hak pembeli rumah.
Beliau menjelaskan, KPKT turut menggariskan pelan tindakan bagi memastikan peralihan daripada konsep Jual Kemudian Bina (JKB) kepada Bina Kemudian Jual (BKJ) dapat dilaksanakan secara berperingkat.
“Kerajaan amat mengalu-alukan konsep pembinaan secara kaedah BKJ bagi pemajuan perumahan swasta kerana ia dapat mengurangkan risiko projek terbengkalai dan lambakan rumah tidak terjual.
“Melalui kaedah pembinaan secara BKJ 10:90, pemaju akan mengenakan 10 peratus wang pendahuluan daripada harga jualan kepada pembeli, manakala baki 90 peratus dibayar selepas rumah siap dan memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) serta Pemilikan Kosong (VP),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Kor Ming menjawab soalan Pang Hok Liong (PH–Labis) mengenai kesediaan kerajaan mewajibkan skim BKJ di seluruh negara bagi mengurangkan projek terbengkalai, khususnya projek kondominium.
Menurut beliau, pelaksanaan skim berkenaan masih bersifat sukarela kerana konsep BKJ memerlukan daya tahan kewangan tinggi dan pelaksanaannya perlu dilakukan secara berhati-hati agar tidak menjejaskan rantaian industri.
Kor Ming turut menegaskan konsep BKJ hanya sesuai dilaksanakan oleh pemaju yang mempunyai keupayaan kewangan kukuh bagi memastikan projek dapat disiapkan sepenuhnya.
Dalam usaha memperkukuh sektor perumahan, katanya, KPKT kini sedang menggubal pindaan terhadap Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 [Akta 118] bagi melindungi hak pembeli serta mencegah projek terbengkalai.
“Cadangan penambahbaikan akta ini bertujuan memperkasa tadbir urus dan pengurusan kewangan pemajuan perumahan, memastikan hak pembeli terpelihara serta memudahcara pembangunan sektor perumahan yang mampan,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut memaklumkan Pasukan Petugas Projek Perumahan Swasta Terbengkalai berjaya memulihkan sebanyak 1,600 projek melibatkan 163,000 pembeli rumah di seluruh negara setakat ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












