Peruntukan Kelantan ditingkat kepada RM8 bilion – PM
KOTA BHARU – Kerajaan Persekutuan mengumumkan peningkatan peruntukan pembangunan untuk Kelantan kepada RM8 bilion, satu lonjakan besar berbanding RM3.19 bilion sebelum ini sebagai usaha mempercepat pembangunan dan kebajikan rakyat negeri itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan negeri berkenaan tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.
“Saya nak tanya kita merdeka sekian lama, ada pimpinan mula selesaikan masalah rakyat yang paling miskin, terhimpit, tercicir di luar. Itu kita mula. Saya lihat ada lagi masalah tak selesai, maka Jabatan Perdana Menteri akan atur, kita tambah lagi.
“Sejak kita ambil alih, kita dah tambah (tambahan) dari RM5 bilion kepada RM8 bilion pembangunan di Kelantan.
“Kalau ada lagi satu dua orang pimpinan pembangkang Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang berani sebut kita pinggirkan dan tidak beri peruntukan kepada kerajaan negeri (Kelantan), kita minta dia buka buku, belajar sikit lagi,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Mini Konvensyen Keadilan Kelantan 2026, di sini hari ini.
Beliau memaklumkan bahawa peruntukan pembangunan bagi Kelantan menunjukkan peningkatan konsisten, dengan RM3.39 bilion disalurkan tahun lalu berbanding RM1.56 bilion pada 2022.
Mengulas aspek tadbir urus, Anwar menegaskan kerajaan kekal tegas dalam memerangi rasuah dan menolak sebarang bentuk salah guna kuasa serta penyelewengan dana awam.
Menurutnya, hasil ketegasan tersebut, kerajaan berjaya menyelamatkan dana negara sebanyak RM15.5 bilion dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
“Kita tidak izinkan mana-mana pihak mengambil harta negara untuk kepentingan peribadi. Jika ada bukti, sesiapa sahaja tanpa pengecualian akan diambil tindakan,” katanya.
Dalam usaha memperluas peluang pekerjaan, beliau turut mempengerusikan mesyuarat bersama syarikat berkaitan kerajaan bagi merangka inisiatif baharu untuk membuka lebih banyak peluang kepada lepasan universiti serta graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Selain itu, Perdana Menteri turut menyatakan kebanggaan terhadap perkembangan industri batik di Kelantan yang kini dianggap antara paling maju, didorong oleh dasar kerajaan mewajibkan pemakaian batik dalam kalangan lebih sejuta penjawat awam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












