Dua pesawat MAS berpatah balik, dilencongkan elak risiko ruang udara Iran
KUALA LUMPUR – Dua pesawat milik Malaysia Airlines (MAS) yang dalam penerbangan antarabangsa terpaksa berpatah balik dan dilencongkan susulan ketegangan di ruang udara sekitar Iran.
Menurut MAS, penerbangan MH160 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Doha berpatah balik ke Kuala Lumpur, manakala MH156 ke Jeddah dilencongkan ke Chennai berikutan nasihat keselamatan serta peningkatan risiko ruang udara.
“Tindakan berkenaan dilaksanakan selaras dengan protokol lencongan kawasan konflik yang telah ditetapkan syarikat penerbangan tersebut.
“Kedua-dua penerbangan kini selamat tiba di KLIA.
“Penumpang yang terjejas sudah dibantu dengan pengaturan penerbangan alternatif dan penginapan hotel, sekiranya diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut MAS lagi, pihaknya akan terus memantau rapat perkembangan semasa dan mengambil semua langkah perlu bagi memastikan operasi penerbangan kekal selamat serta dipercayai.
“Keselamatan penumpang dan anak kapal kekal sebagai keutamaan tertinggi MAS,” katanya.
Terdahulu, ketegangan yang semakin memuncak antara Amerika Syarikat dan Iran menyebabkan beberapa negara mengarahkan rakyat masing-masing meninggalkan republik berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












