Piala Dunia 2026: Impian England tertangguh, Ghana curi mata berharga dalam aksi tanpa jaringan
BOSTON – Impian England untuk mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2026 lebih awal tertangguh selepas diikat 0-0 oleh Ghana dalam aksi Kumpulan L di Stadium Boston, awal pagi tadi.
Keputusan itu menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi empat mata daripada dua perlawanan, sekali gus menjadikan perebutan slot ke pusingan 32 terbaik hanya akan ditentukan pada aksi terakhir peringkat kumpulan.
Skuad kendalian Thomas Tuchel menguasai hampir keseluruhan permainan dengan mencipta 19 percubaan berbanding hanya dua oleh Ghana, namun gagal menembusi benteng pertahanan lawan yang dikendalikan dengan cukup berdisiplin oleh jurulatih berpengalaman, Carlos Queiroz.
England turut menguasai hampir 79 peratus penguasaan bola, namun ketumpulan jentera serangan menyaksikan peluang demi peluang disia-siakan oleh Harry Kane, Jude Bellingham, Anthony Gordon, Declan Rice, Elliot Anderson dan Noni Madueke.
Peluang terbaik The Three Lions hadir pada minit ke-86 apabila tandukan pemain gantian Nico O’Reilly menggegarkan palang sebelum Kane gagal menyempurnakan bola muntah dari jarak dekat.
Pada masa kecederaan, tandukan Marc Guehi pula berjaya dikeluarkan tepat di atas garisan gol oleh pertahanan Ghana.
Aksi babak pertama turut mencatat rekod tersendiri apabila menjadi perlawanan pertama di Piala Dunia 2026 yang menyaksikan tiada sebarang percubaan tepat ke sasaran daripada kedua-dua pasukan.
England kini perlu mengelak kekalahan ketika menentang Panama pada aksi terakhir Ahad ini bagi memastikan kemaraan ke pusingan kalah mati, manakala Ghana berpeluang mencipta kejutan jika berjaya memperoleh keputusan positif ketika bertemu Croatia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












