Kerajaan tegas tangani ancaman keselamatan di pintu masuk negara – Saifuddin
PUTRAJAYA – Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman yang boleh menjejaskan keselamatan negara, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Saifuddin berkata, tahap keselamatan di semua pintu masuk negara kekal terkawal, dengan langkah keselamatan tambahan diaktifkan serta-merta bagi memastikan keselamatan anggota dan orang awam terus terjamin.
“Kerajaan memandang serius insiden tembakan yang melibatkan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di pintu masuk negara.
“Saya bersyukur pegawai berkenaan selamat dan kejadian itu kini disiasat secara menyeluruh oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya menerusi satu kenyataan, sambil menambah tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat.
Terdahulu, Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, nyaris terkena tembakan yang dilepaskan ke arahnya dalam kejadian, di Bukit Kayu Hitam, pagi tadi.
Kejadian kira-kira pukul 5.40 pagi itu berlaku ketika Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M Nasir dalam perjalanan ke sebuah masjid untuk menunaikan solat Subuh dengan memandu kenderaan utiliti sukan (SUV), X70.
Beliau bagaimanapun terselamat apabila dua tembakan yang dilepaskan salah seorang daripada dua suspek menaiki sebuah motosikal tersasar.
Tembakan terkena pada pintu penumpang belakang sebelah kanan dan pintu penumpang hadapan.
Dalam pada itu, Saifuddin turut menyeru orang ramai supaya tidak membuat spekulasi dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara profesional.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












