BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

Platform media sosial berdepan denda hingga RM10 juta jika gagal laksana pengesahan umur

KUALA LUMPUR – Platform media sosial yang gagal mematuhi keperluan pengesahan umur pengguna seperti ditetapkan di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) boleh dikenakan penalti kewangan sehingga RM10 juta.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pemberi perkhidmatan aplikasi berlesen yang gagal mematuhi kewajipan ditetapkan di bawah akta berkenaan.

Menurutnya, MCMC boleh mengeluarkan notis ketidakpatuhan kepada penyedia platform yang didapati melanggar peruntukan di bawah Bahagian III Akta 866.

“Bagi ketidakpatuhan kepada Bahagian III Akta 866, pemberi perkhidmatan berlesen boleh dikenakan penalti kewangan tidak melebihi RM10 juta sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 39 Akta 866,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (PH-Bangi) mengenai langkah kerajaan memastikan syarikat media sosial mematuhi keperluan pengesahan had umur pengguna serta tindakan yang akan dikenakan sekiranya mereka gagal berbuat demikian.

Fahmi berkata, pemberi perkhidmatan berlesen yang menerima notis ketidakpatuhan mempunyai pilihan sama ada membayar penalti yang ditetapkan atau mengemukakan representasi kepada MCMC untuk semakan semula.

Pada masa sama, beliau menjelaskan Seksyen 30 Akta 866 turut memperuntukkan kuasa kepada MCMC untuk mengeluarkan arahan bertulis kepada pemberi perkhidmatan berlesen bagi memastikan pematuhan terhadap mana-mana peruntukan akta tersebut.

“Kegagalan mematuhi arahan yang dikeluarkan merupakan satu kesalahan dan apabila disabitkan di mahkamah boleh didenda tidak melebihi RM1 juta serta denda tambahan tidak melebihi RM100,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata kerajaan telah memulakan siri libat urus dengan syarikat media sosial sejak Januari lalu menerusi pelaksanaan medan uji kaji kawal selia atau regulatory sandbox bagi membincangkan pelaksanaan mekanisme pengesahan umur pengguna.

Menurut beliau, lebih 30 sesi libat urus telah diadakan sama ada secara bersama mahupun berasingan dengan platform media sosial yang terbabit.

“Setiap platform mempunyai cabarannya sendiri dan objektif perniagaan yang berbeza, namun kerajaan menetapkan keperluan pengesahan umur ini selaras dengan amalan yang turut dilaksanakan di lebih 25 negara di seluruh dunia,” katanya.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pelaksanaan mekanisme pengesahan umur sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh perlindungan kanak-kanak dalam talian, termasuk memastikan pengguna berusia bawah 16 tahun tidak memiliki akaun media sosial tanpa memenuhi syarat yang ditetapkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button