BERITA SEMASAINISIATIF KERAJAANPMX

Stesen Landasan Berkembar Elektrik Gemas–JB jadi pemangkin ekonomi rakyat – PM

JOHOR BAHRU – Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru bukan sahaja menyempurnakan rangkaian pengangkutan moden negara, malah bakal melahirkan pusat-pusat pertumbuhan ekonomi baharu di setiap stesen sepanjang laluan tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengoperasian penuh projek itu membuka lembaran penting dalam pembangunan negeri Johor, sekali gus memastikan manfaat besar hasil pembinaan infrastruktur mega itu dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat.

“Rangkaian pengangkutan canggih yang kita saksikan hari ini hanya akan bermakna jika manfaatnya turun terus kepada rakyat. Sebab itu tumpuan kerajaan adalah memastikan stesen-stesen di bandar kecil menjadi pemangkin aktiviti ekonomi, peluang pekerjaan dan pembangunan komuniti,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyempurnaan dan Pengoperasian Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru, yang turut dihadiri Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke di Stesen Kempas Baru di sini, hari ini.

Projek sepanjang 192 kilometer itu melibatkan pembinaan 11 stesen baharu termasuk di Segamat, Labis, Kluang, Renggam, Layang-Layang, Kulai dan Kempas Baru, dengan keupayaan operasi tren elektrik (ETS) berkelajuan 140 kilometer sejam.

Melalui jajaran baharu tersebut, masa perjalanan dari Johor Bahru ke KL Sentral kini hanya 4.5 jam, manakala perjalanan ke Padang Besar mengambil masa sekitar 10 jam.

Anwar menegaskan, usaha mempercepat pembangunan di kawasan stesen memerlukan kerjasama rapat antara kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi memastikan rancangan pembangunan benar-benar memberi kesan langsung kepada rakyat.

Beliau berkata, pendekatan ekonomi MADANI yang digerakkan kerajaan bukan sekadar menaik taraf infrastruktur, tetapi memastikan wujudnya limpahan ekonomi melalui pembangunan pusat perniagaan, gerai makanan, kemudahan rakyat dan peluang pekerjaan di kawasan sekitar stesen.

“Inilah kelainan pendekatan kita. Pembangunan mesti melonjakkan ekonomi, tetapi pada masa sama memerlukan keprihatinan dan campur tangan kerajaan bagi memastikan rakyat di semua lapisan menerima manfaatnya,” katanya.

Tambah Anwar, Johor kini muncul sebagai salah satu kuasa ekonomi negara, namun tumpuan kerajaan adalah memastikan setiap pembangunan memberi pulangan yang menyeluruh, bukan hanya tertumpu di kawasan tertentu.

Beliau turut menekankan kerajaan lebih terbuka mendengar pandangan kerajaan negeri dalam merangka perancangan pembangunan, termasuk ketika penyediaan Rancangan Malaysia Ke-13 dan Belanjawan Negara.

“Apa yang dianggap keutamaan di Putrajaya tidak semestinya menepati keutamaan Johor. Sebab itu kita dengar dahulu pandangan negeri sebelum menyelaras semula beberapa program pembangunan,” katanya.

Menurutnya lagi, beberapa keputusan Jemaah Menteri turut disesuaikan semula selepas mendengar input kerajaan negeri, selaras dengan prinsip demokrasi dan semangat federalisme yang menekankan keperluan mendengar serta menyesuaikan dasar mengikut keperluan setempat.

Sementara itu, Anwar turut menzahirkan rasa bangga atas kejayaan projek berkenaan dan menyifatkannya sebagai model pembangunan yang harus dicontohi, bukan sahaja untuk Johor tetapi bagi seluruh negara.

“Projek ini bukan sekadar infrastruktur moden. Ia adalah pelaburan jangka panjang untuk generasi akan datang dan satu lagi detik kebanggaan nasional,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button