BERITA SEMASADALAM NEGERI

PM Laos diberi sambutan rasmi di Perdana Putra

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone diberi sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra sempena lawatan rasminya selama tiga hari ke Malaysia bermula hari ini.

Ketibaan Siphandone pada pukul 10 pagi disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Terdahulu, beliau tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 9.05 pagi, memetik laporan Bernama.

Sepanjang lawatan selama tiga hari ini, Sipandhone ditemani isterinya, Vandara.

Beliau kemudiannya memeriksa kawalan kehormat terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (Istiadat) diketuai Mejar Muhammad Fikri Senan.

Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; diplomat asing dan pegawai kanan kerajaan.

Sepanjang lawatan, beliau ditemani isterinya, Vandara Siphandone serta menteri-menteri dan pegawai kanan kerajaan Laos.

Lawatan rasmi yang diadakan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 itu, menekankan hubungan erat dan berterusan antara Malaysia dan Republik Demokratik Rakyat Laos.

Selepas upacara sambutan itu, Siphandone menandatangani buku tetamu dan meneruskan program dengan mesyuarat dua hala bersama Anwar.

Mesyuarat dua hala bersama delegasi Laos turut diadakan di Pejabat Perdana Menteri.

Mesyuarat itu menumpukan kepada perkembangan hubungan bilateral yang sedang berlangsung, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertahanan, pendidikan, tenaga boleh diperbaharui, pengangkutan, pelancongan, pembangunan kapasiti, pertanian dan industri halal.

Kedua-dua pemimpin juga bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan global, dengan penekanan kepada kepentingan strategik ASEAN sebagai platform yang padu untuk menangani isu-isu bersama di tengah-tengah cabaran geopolitik yang semakin meningkat.

Siphandone juga dijadualkan melawat Ibu Pejabat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Kuala Lumpur dan menghadiri Majlis Santapan Diraja bersama Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 27 Mei.

Pada tahun 2024, jumlah dagangan bilateral antara Malaysia dan Laos mencecah RM99.7 juta (USD21.9 juta), dengan nilai eksport Malaysia sebanyak RM67.8 juta (USD14.9 juta) dan import berjumlah RM31.9 juta (USD7 juta).

Malaysia merupakan pelabur asing ke-5 terbesar di Laos dengan jumlah pelaburan bernilai USD942 juta, merangkumi 46 projek berdaftar, yang memfokuskan kepada sektor seperti tenaga boleh diperbaharui, pengangkutan dan logistik, telekomunikasi, pembinaan, perbankan dan perkhidmatan hotel.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button