PM rai tujuh pemuda selamatkan ibu bersama dua anak dalam nahas Tasik Biru
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meraikan tujuh pemuda yang bertindak berani menyelamatkan seorang ibu bersama dua anak kecil dalam kejadian nahas di Tasik Biru, pada majlis berbuka puasa di Kompleks Seri Perdana, malam tadi.
Dalam satu kenyataan menerusi Facebook, Anwar berkata, beliau mengundang kesemua pemuda berkenaan sebagai tanda penghargaan atas keberanian dan kecekalan mereka bertindak pantas ketika insiden tersebut berlaku baru-baru ini.
“Saya telah mengundang tujuh pemuda yang bertindak pantas dan penuh keberanian menyelamatkan seorang ibu bersama dua anak kecil dalam nahas di Kundang baru-baru ini untuk berbuka puasa di Kompleks Seri Perdana hari ini.
“Tindakan mereka yang tanpa ragu mempertaruhkan keselamatan diri demi menyelamatkan nyawa insan lain adalah cerminan nilai kemanusiaan yang luhur serta semangat ihsan yang amat tinggi,” katanya.
Baca juga : Anwar tersentuh, hargai keberanian tujuh pemuda selamatkan ibu dan dua anak di Tasik Biru
Menurut beliau, keberanian dan keprihatinan yang dipamerkan wajar dihargai serta dijadikan teladan oleh seluruh masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Anwar turut menyampaikan sedikit saguhati kepada kesemua pemuda terbabit sebagai simbol penghargaan atas jasa dan pengorbanan mereka.
“Sesungguhnya, tujuh pemuda ini bukan sahaja wira kepada keluarga yang diselamatkan, malah lambang kemuliaan akhlak, keinsanan dan semangat solidariti rakyat Malaysia yang sentiasa bersedia membantu tanpa mengira latar belakang,” ujarnya.
Terdahulu, tindakan spontan tujuh pemuda berkenaan yang terjun membantu mangsa dalam kejadian di Tasik Biru itu tular di media sosial dan menerima pujian ramai atas keberanian luar biasa yang dipamerkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












