BERITA SEMASA

PM raikan tokoh ilmuwan, pendakwah antarabangsa di Seri Perdana

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkesempatan meraikan kehadiran beberapa tokoh ilmuwan dan pendakwah tersohor antarabangsa dalam satu majlis ilmu yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, malam tadi.

Majlis yang merupakan sebahagian daripada siri Majlis Ilmu MADANI itu menghimpunkan cendekiawan Islam dari pelbagai pelosok dunia dan menjadi platform perkongsian pandangan mengenai isu-isu semasa global yang menyentuh umat Islam.

Antara tokoh ulung yang hadir ialah Syeikh Dr Ahmad Aissa Hassan El-Ma’sarawi, mantan Syeikh di ‘Umum Al-Maqarii’, Mesir; Dr Haifaa Younis, Pengerusi Institut Jannah dari Amerika Syarikat; Syeikh Yusuf Islam (Cat Stevens) dari United Kingdom; dan Syeikh Muhammad Haydara al-Jilani dari Gambia.

Dalam satu hantaran di Facebook, Anwar memaklumkan bahawa pertemuan tersebut turut memberi ruang perbincangan isu-isu mendesak seperti insiden pembakaran al-Quran di Sweden serta perkembangan politik dan kemanusiaan yang membelenggu Gaza.

“Saya tegaskan pentingnya kebijaksanaan dan kepekaan dalam memberi respons terhadap isu-isu antarabangsa, khususnya yang melibatkan kesucian agama dan nyawa manusia.

“Hikmah dan pertimbangan masa adalah elemen utama dalam mendepani cabaran global,” katanya.

Anwar turut merakamkan penghargaan atas doa dan nasihat yang disampaikan para tetamu khususnya titipan nasihat serta doa yang dikemukakan oleh Syeikh Muhammad Haydara.

“Majlis seumpama ini bukan sahaja memperkayakan kita dengan ilmu, bahkan menyuburkan semangat untuk terus menyebarkan rahmat Islam berpaksikan nilai ihsan, kasih sayang dan keindahan akhlak,” katanya lagi.

Beliau turut berharap agar penganjuran majlis ilmu sedemikian terus diperkasa dan diperluas demi manfaat ummah dan memperkukuh nilai MADANI dalam masyarakat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button