BERITA SEMASAPMX

PM umum kadar subsidi padi naik ke RM500 setiap metrik tan mulai esok

PARIT BUNTAR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan kadar subsidi harga padi daripada RM360 kepada RM500 setiap metrik tan bermula esok.

Penambahbaikan Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) itu membolehkan pesawah menerima sekurang-kurangnya RM1,700 bagi setiap tan sekali gus meningkatkan pendapatan pesawah serta memberi motivasi untuk meningkatkan pengeluaran.

Kata Anwar, kenaikan itu melibatkan implikasi kewangan tambahan sekitar RM360 juta setahun dan jumlah peruntukan SSHP mencecah RM1 bilion setahun.

“Semasa saya menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada tahun 90an, itulah pertama kali saya naikkan harga padi. Kemudian ia tidak naik lagi kerana kalau naik, kerajaan perlu tampung belanja.

“Kadar subsidi RM360 per metrik tan naik mulai esok kepada RM500. Ini kenaikan terbesar dalam sejarah. Kita tidak mahu kata umum hari ini laksana tahun depan tetapi kita umum hari ini esok naik harga padi seluruh negara,” katanya.

Perdan Menteri berkata demikian ketika berucap pada program Sentuhan Agro Madani Peringkat Negeri Perak di Dataran Kerian Permai, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Timbalannya, Chan Foong Hin serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kementerian turut bercadang menambah peruntukan bagi pelaksanaan penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun sebagai satu inisiatif meningkatkan pengeluaran beras negara.

“Walaupun unjuran awal RM3 bilion tidak cukup kita terpaksa tambah, kerajaan akan lakukan sebaiknya.

“… saya boleh umum hari ini kerana pegawai kita bertungkus lumus bekerja, merancang dan beri pandangan dengan melibatkan pelbagai pihak termasuk Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan Kementerian Ekonomi,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button