Polis buru suspek utama kes lelaki mati dengan 12 kesan tikaman
NILAI – Polis sedang memburu suspek utama kes pembunuhan seorang lelaki yang ditemukan dengan kesan 12 tikaman di sebuah unit pangsapuri di Mantin, 30 Dis lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya, suspek dikatakan terlebih dahulu bertanyakan unit rumah mangsa sebelum memasuki kawasan pangsapuri dan keluar kira-kira tiga jam kemudian.
“Suspek dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan masuk pangsapuri berkenaan dalam keadaan memakai pelitup muka dan baju panas ‘hoodie’ menutup kepala.
“Lelaki itu dikatakan bertanya alamat rumah mangsa kepada pengawal keselamatan di pondok pintu masuk yang mana ia turut dirakam CCTV pada tengah malam 28 Disember lalu,” katanya, hari ini.
Tambahnya, polis percaya lelaki berkenaan adalah suspek utama dalam kejadian itu.
Sebagai rekod, dua lelaki lain iaitu teman serumah mangsa ditahan sebelum ini bagi membantu siasatan.
“Hasil soal siasat mendapati rumah berkenaan disewa mangsa bersama dua rakannya yang ditahan sebelum ini. Kejadian dipercayai berlaku pada tengah malam 28 Disember dan jasad hanya ditemukan pada pagi 30 Disember.
“Malah, kami difahamkan, rumah berkenaan dijadikan tempat untuk melakukan kegiatan songsang sesama jantina,” katanya lagi.
Mengulas mengenai dua suspek yang ditahan sebelum ini, beliau berkata, reman kedua-dua lelaki berkenaan akan tamat esok dan pihaknya akan membuat permohonan sambung reman.
Justeru, ulas beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek utama ini supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat di IPD Nilai atau balai polis berhampiran.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki membabitkan kes bunuh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












