Polis buru lelaki didakwa tumbuk, paksa wanita lakukan hubungan luar tabii
KUALA LUMPUR – Seorang wanita mendakwa menjadi mangsa keganasan fizikal dan dipaksa melakukan seks luar tabii oleh rakan lelakinya dalam dua insiden berasingan di bilik sewanya di sebuah kondominium dekat Kampung Batu Muda, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Basri Sagoni berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 2.33 petang, Jumaat lalu.
Menurut beliau, kejadian pertama berlaku sekitar pukul 11 malam, Rabu lalu ketika mangsa berada di bilik sewa berkenaan bersama bayinya yang berusia 10 bulan.
“Bayi mangsa yang menangis dipercayai mencetuskan kemarahan suspek sebelum lelaki itu bertindak menumbuk muka mangsa sehingga menyebabkan bengkak dan lebam.
“Keesokan harinya kira-kira pukul 11 pagi, suspek didakwa sekali lagi bertindak agresif dengan memaksa mangsa melakukan hubungan seks luar tabii,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Basri berkata, mangsa mengalami kesakitan pada bahagian muka sebelah kiri, belakang leher serta dubur akibat kejadian tersebut.
Tambah beliau, mangsa turut menerima ugutan daripada suspek dengan kata-kata berbaur ancaman agar tidak menceritakan perkara itu kepada sesiapa, sekali gus menimbulkan rasa takut dan terancam.
Siasatan awal mendapati mangsa mengenali suspek sejak Januari lalu melalui seorang kenalan dan hubungan mereka sekadar berkenalan tanpa sebarang ikatan perkahwinan. Difahamkan, suspek juga pernah beberapa kali menumpang di bilik sewa mangsa sebelum insiden berkenaan berlaku.
Mangsa kemudiannya mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur sebelum tampil membuat laporan polis.
Bagaimanapun, laporan perubatan mendapati tiada kesan kemasukan seperti yang didakwa mangsa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan berkaitan ugutan jenayah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Azwani Londing di talian 016-9882594 atau Bilik Gerakan IPD Sentul di 03-40482222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |











