PETALING JAYA – Seorang wanita kurang upaya berusia 45 tahun dilaporkan ditumbuk beberapa kali di muka dalam satu kejadian di sebuah restoran di Serdang Raya, awal bulan ini, dipercayai berpunca daripada pertikaian di media sosial.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhammad Farid Ahmad berkata, mangsa mengalami lebam pada pipi kiri dan bibir akibat serangan yang berlaku pada 8 Disember lalu.
Sehubungan itu, polis telah memanggil dan merakam keterangan seorang suspek wanita berusia 40 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian berkenaan.
“Suspek didakwa menghampiri mangsa bersama enam individu lain sebelum menumbuk muka mangsa kira-kira lima kali.
“Kes masih dalam siasatan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan semalam.
Muhammad Farid berkata, serangan itu dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap satu video yang dimuat naik di aplikasi TikTok dengan kes disiasat di bawah kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan.
Sebelum ini, mangsa yang dikenali sebagai Rani Arumugam mendakwa diserang di tempat kerjanya di Serdang Raya di hadapan rakan sekerja dan pelanggan sebuah restoran makanan segera oleh sekumpulan tujuh individu, termasuk tiga wanita.
Rani yang mengalami kecacatan fizikal akibat kecederaan tulang belakang berkata, serangan itu berlaku susulan satu video TikTok yang dimuat naik sebagai respons terhadap seorang pengguna dikenali sebagai Nalinee yang didakwa mengganggu sepupunya.
Beliau turut mendakwa kejadian itu disiarkan secara langsung di TikTok dan menyebabkan dirinya dimalukan, trauma serta digantung kerja.