Polis Sarawak rampas RM10.5 juta rokok, minuman keras seludup
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya merampas barangan bernilai lebih RM10 juta dalam dua serbuan berasingan di sekitar Kuching, Sarawak, semalam dalam operasi bersepadu membanteras penyeludupan rokok dan minuman keras.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, operasi dikenali sebagai Op Taring Alpha 1 dan Op Taring Alpha 2 itu dilaksanakan hasil risikan oleh Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak.
“Tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia berusia antara 30 hingga 64 tahun ditahan dalam serbuan di dua premis yang dipercayai digunakan sebagai stor penyimpanan barangan seludup.
“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM10,500,028,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Serbuan pertama membawa kepada rampasan 648 liter minuman keras, 90,000 batang rokok putih pelbagai jenama, 51,200 batang rokok kretek serta sebuah telefon bimbit.
Sementara itu, serbuan kedua menemukan 4.19 juta batang rokok putih pelbagai jenama, 24,320 batang rokok kretek, sebuah van dan sebuah telefon bimbit.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Menurut Azmi, sejak 1 Januari hingga 2 Julai lalu, WCB/PSK JKDNKA telah melaksanakan 155 serbuan di seluruh negara melibatkan 236 tangkapan dengan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM443.85 juta.
Beliau turut menggesa orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat bagi membantu membanteras aktiviti penyeludupan dan penjualan barangan tidak berkastam di negara ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












