BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Polis buka kertas siasatan video tular cuba aibkan anggota URB

KUALA LUMPUR – Polis membuka siasatan berhubung dakwaan seorang pemain bola sepak dari negara jiran yang menuduh anggota polis meminta wang ketika pemeriksaan dijalankan baru-baru ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, pihaknya telah membuka satu kertas siasatan bagi meneliti dakwaan tersebut secara terperinci.

Katanya, siasatan awal mendapati video yang tular itu membabitkan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang sedang menjalankan rondaan semasa kejadian berlaku.

“Hasil siasatan awal mendapati rakaman dibuat semasa pemeriksaan dijalankan oleh anggota URB terhadap sebuah kenderaan. Pemeriksaan dilakukan dengan tertib mengikut peraturan yang ditetapkan.

“Semua individu yang diperiksa dilepaskan selepas pemeriksaan dijalankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Baca juga : KDN digesa ambil tindakan terhadap pemain bola Indonesia didakwa hina polis Malaysia

Wan Azlan berkata, siasatan turut mendapati wujud satu lagi video yang memaparkan ulasan semula kejadian dengan membuat tuduhan mengaibkan terhadap anggota polis berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat kenyataan atau tuduhan melulu yang boleh menjejaskan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menimbulkan kekeliruan awam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button