BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Polis tumpas sindiket edar MDMA bernilai RM1.2 juta, tiga ditahan

BUKIT MERTAJAM – Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) bernilai kira-kira RM1.2 juta menerusi beberapa serbuan di sekitar daerah ini yang dijalankan sejak kelmarin hingga semalam.

Dalam operasi bermula pukul 2 petang hingga 10 pagi itu, tiga individu terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 24 hingga 33 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, serbuan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) pada mulanya membawa kepada penahanan seorang lelaki dan seorang wanita di sebuah rumah di kawasan Bukit Mertajam.

Menurut beliau, pemeriksaan di kediaman berkenaan menemukan 302 peket plastik pelbagai warna mengandungi serbuk disyaki MDMA seberat 8,086.8 gram yang dianggarkan bernilai RM1.2 juta.

“Hasil siasatan lanjut membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki tempatan yang dipercayai berperanan sebagai ‘runner’ sindiket di kawasan sama.

“Ketiga-tiga suspek didapati positif dadah jenis ketamin, manakala suspek pertama dan ketiga mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azizee berkata, hasil risikan mendapati sindiket berkenaan aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak April lalu.

Katanya, jumlah dadah yang dirampas dipercayai mampu digunakan oleh hampir 26,956 penagih.

Selain dadah, polis turut menyita dua buah kereta, barang kemas, beg tangan dan wang tunai dengan nilai keseluruhan melebihi RM215,000.

Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 16 Jun ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button