BERITA SEMASAPOLITIK

PRN Johor: PN akan bertanding di 56 kerusi DUN

KUALA LUMPUR Perikatan Nasional (PN) memberi bayangan akan bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang, sekali gus menyahut pendirian sama yang telah diumumkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi PN, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, gabungan itu masih terbuka untuk mengadakan rundingan dengan parti-parti lain bagi mengelakkan pertembungan sesama pembangkang.

Menurut beliau, meskipun PN bersedia meletakkan calon di semua kerusi yang dipertandingkan, perbincangan dengan beberapa parti lain masih boleh dilakukan demi memastikan pertandingan lebih tersusun dalam blok pembangkang.

“PN juga sedia bertanding di semua kerusi, namun kita terbuka untuk berunding dengan beberapa parti lain supaya tidak berlaku pertembungan sesama pembangkang,” katanya memetik laporan FMT hari ini.

Beliau ditemui selepas pelancaran Sekretariat Malaysia-Aid4Iran di ibu pejabat PAS.

Beliau turut menegaskan bahawa PN bersedia menghadapi saingan daripada PH dan BN bukan sahaja di Johor, malah pada pilihan raya di negeri-negeri lain pada masa akan datang.

Pada PRN Johor 2022, PN meletakkan calon di semua 56 kerusi DUN, namun hanya berjaya memenangi tiga kerusi.

Sebelum ini, Pengerusi BN Johor yang juga Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan gabungan itu akan bertanding di kesemua 56 kerusi pada PRN akan datang.

Pendirian sama turut dinyatakan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan gabungan itu berhasrat bertanding di semua kawasan sama ada pada PRN mahupun Pilihan Raya Umum (PRU).

Namun, Presiden PKR itu berkata masih terdapat ruang untuk rundingan sebelum keputusan muktamad mengenai agihan kerusi dimuktamadkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button