Program Malaysia–Japan Culture Exchange 2025 rai persahabatan dan tradisi
PASIR GUDANG – Dewan Tunku Laksamana Abdul Jalil, Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) dipenuhi dengan semangat persahabatan antarabangsa apabila berlangsungnya Program Malaysia–Japan Culture Exchange 2025, di sini semalam.
Bertemakan ‘Tradisi and Tomodachi’, program itu menekankan konsep EduTourism yang memfokuskan pertukaran budaya dan perkongsian ilmu dalam bidang seni tari, permainan tradisional serta muzik antara Malaysia dan Jepun.

Dianjurkan hasil kerjasama Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti (JPH) bersama rakan industri JNC Travel Sdn. Bhd. serta Jiyugaoka Gakuen High School, Jepun, acara menyaksikan penglibatan 130 pelajar dan 7 guru daripada kedua-dua institusi.
Pengarah Program Malaysia–Japan Culture Exchange 2025, Nur Hidayah Zulkifli berkata, program itu bukan sekadar aktiviti pelajar tetapi satu strategi untuk memartabatkan pendidikan TVET di peringkat global.
“Program bertemakan pertukaran budaya antara masyarakat Malaysia dan Jepun ini satu langkah strategik untuk mengarusperdanakan pendidikan TVET di peringkat global.
“Melalui kolaborasi bersama JNC Travel Sdn. Bhd. dan inkubator keusahawanan PolyTravel PIS, kami yakin sinergi ini mampu melahirkan pelajar berdaya saing serta berfikiran antarabangsa,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Acara dimulakan dengan perarakan bunga manggar berwarna-warni, diikuti sesi ice-breaking antara pelajar Malaysia dan Jepun.

Majlis turut dihadiri Pengarah PIS, Ulaimi Yahya manakala delegasi Jepun diketuai oleh Nakamura Michitsugu.
Persembahan Tarian Zapin Dewi Kenanga oleh pelajar PIS membuka pentas sebelum dibalas penuh semangat dengan tarian tradisional Jepun Soran Bushi yang dipersembahkan oleh pelajar, Jiyugaoka Gakuen dan diselia oleh Nakamura dan Ms. Tamame.
Selain persembahan, pelajar juga menyertai permainan tradisional Malaysia seperti batu seremban, congkak, ceper, teng-teng, sepak bulu ayam (chapteh) dan dam ular gergasi.

Alunan muzik tradisional Gamelan Malaysia turut menyerikan suasana diiringi persembahan oleh pelajar PIS.
Sementara itu, Ketua Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti, Abdul Kharim Abdul Hamid menyifatkan kejayaan program itu sebagai langkah kecil ke arah menjadikan PIS destinasi edupelancongan pilihan.
“Alhamdulillah, program ini berjalan lancar. Ia bukan sekadar pertukaran budaya tetapi juga membuka peluang pelajar membina kemahiran komunikasi, kepimpinan dan soft skills di luar bilik kuliah.
“Semoga program seterusnya pada Februari 2026 dipermudahkan, Insya-Allah,” katanya.
Program “Tradisi and Tomodachi” membuktikan bahawa tradisi dan persahabatan boleh bersatu sambil memberi ruang kepada pelajar untuk belajar merentas sempadan budaya.

Majlis tersebut menjadi simbol keakraban antara dua negara dan menunjukkan bahawa pertukaran ilmu dan budaya mampu membina generasi global yang berwawasan.
Ia diakhiri dengan pertukaran cenderahati antara pelajar sebagai simbol persahabatan dan penghargaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





