POLITIK

PRU16: PAS gerak solo?

KANGAR – Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin mencadangkan parti berkenaan bergerak solo dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 akan datang jika kemelut kepemimpinan Perikatan Nasional (PN) tidak diselesaikan segera.

Hashim memberi cadangan itu susulan isu dalaman PN itu masih belum menemukan sebarang titik peyelesaian.

“Bagi saya, PAS mempunyai kekuatan tersendiri dan berupaya meraih keputusan lebih baik pada PRU16 khususnya di empat negeri (Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu).

“Daripada bertengkar atau berdepan ketidaktentuan dalam haluan adalah lebih baik (PAS) bergerak solo.

“Jadi selepas keputusan PRU16, barulah kita berbincang semula untuk bekerjasama dengan mana-mana parti bagi membentuk kerajaan,” katanya, hari ini, lapor BH Online.

Dalam perkembangan lain, Hashim berharap sebarang perbezaan pandangan antara PAS dan BERSATU dapat diselesaikan secara baik demi memastikan kerjasama kedua-dua parti terus terpelihara.

“Saya tidak mahu mengulas panjang mengenai isu PN, cuma saya berharap ia dapat diselesaikan segera tanpa terus berlarutan.

“Dalam pada itu, Mesyuarat Majlis Syura yang berlangsung kelmarin juga berjalan lancar sebagai usaha menangani sebarang perkara berbangkit,” katanya lagi.

Krisis dalaman PN berpunca daripada peletakan jawatan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari lalu susulan krisis kepemimpinan kerajaan Perlis.

Susulan peletakan jawatan Muhyiddin, PAS menegaskan mahu mengambil alih jawatan itu dan menerajui PN, namun hasrat itu sehingga kini belum tercapai.

Terdahulu, sepucuk surat bertarikh 27 Januari yang bocor, memaparkan Muhyiddin menjelaskan BERSATU dan PAS sepakat untuk memansuhkan jawatan pengerusi PN sebagai langkah penstrukturan semula gabungan itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button