BERITA SEMASAPOLITIK

Puad Zarkashi umum keluar UMNO, dakwa parti di Johor hilang kebebasan buat keputusan

JOHOR BAHRU – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengumumkan keluar daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta hari ini.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata keputusan tersebut dibuat tanpa sebarang paksaan dan bagi membolehkannya menyuarakan pandangan secara bebas tanpa dituduh menentang parti dari dalam.

“Tanpa berat hati, saya umum keluar UMNO serta-merta mulai hari ini 25 Jun 2026. Oleh itu UMNO tidak perlu bersusah payah memecat saya. Ia juga memudahkan saya berbeza pandangan tanpa dituduh menikam parti dari belakang.

“Kini saya bebas mengkritik UMNO, satu wadah yang saya sayangi dan hormati untuk orang Melayu dan rakyat Malaysia,” tegasnya.

Menurut beliau, tindakan meninggalkan UMNO tidak didorong oleh kepentingan peribadi memandangkan keputusan itu dibuat ketika parti berkenaan dilihat berada dalam kedudukan kukuh menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.

“Ada yang menuduh saya keluar UMNO kerana kepentingan diri. Buat apa saya keluar ketika UMNO dilihat kuat sehingga mahu berlawan solo di 56 kerusi

“Saya tinggalkan UMNO di saat KJ (Khairy Jamaluddin), Hishamuddin (Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein) dan Noh Omar (Tan Sri Noh Omar) kembali masuk UMNO bila melihat parti tambah kuat. Maka siapa yang ada kepentingan. Mereka atau saya?” katanya.

BACA JUGA:

Puad Zarkashi bakal buat pusingan U, beri bayangan bertanding PRN Johor

Mohd Puad turut mendakwa antara sebab utama beliau meninggalkan UMNO adalah kerana UMNO Johor tidak lagi bebas membuat keputusan sendiri.

Beliau mendakwa kepimpinan parti di negeri itu dipengaruhi pihak istana dalam beberapa keputusan penting termasuk pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Menurutnya, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika satu pertemuan pada 21 Jun lalu didakwa memaklumkan bahawa pembubaran DUN Johor dibuat susulan titah pihak istana.

“Banyak lagi contoh-contoh lain Onn Hafiz hanya pak turut. Itu menjadikan UMNO Johor boneka yang terikat.

“Saya perlu melakukan ‘keberanian politik’ mendedahkan kemungkaran ini sebelum menjadi parah.

“Saya sedar saya akan dikecam dan dihina. Mungkin juga keselamatan saya terancam. Tetapi berbekalkan ‘keberanian politik’ saya bersedia bertempur dalam apa jua keadaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengkritik hala tuju UMNO ketika ini dan mendakwa parti itu perlu dipimpin oleh barisan yang lebih berani serta mampu menawarkan aspirasi baharu kepada golongan muda.

“Saya tidak mahu UMNO dipimpin oleh ‘pengecut politik’ sehingga menyebabkan calon BN diketawakan sebagai kitar semula, tiada aspirasi orang muda dan ‘mediocre’.

“Saya bertawakal kepada Allah. Kaulah pelindung yang tidak ada tolok bandingnya,” tegas Mohd Puad.

Semalam, Mohd Puad memberi bayangan akan membuat keputusan penting pada 27 Jun selepas senarai calon BN bagi PRN Johor diumumkan Onn Ghazi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button